Persidangan Padi Kebangsaan @ PADI 2022
Kelestarian Padi dan Beras untuk kemakmuran bersama
ALOR SETAR, 22 November 2022 – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Industri Padi (PIP MAFI), Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pulau Pinang telah menganjurkan Persidangan Padi Kebangsaan (PADI 2022) bermula pada 22-24 November 2022 bertempat di Raia Hotel and Convention Centre Alor Setar. Majlis Perasmian persidangan telah disempurnakan oleh YBhg Dato’ Haslina binti Abdul Hamid, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.
Industri padi dan beras sememangnya sangat penting di Malaysia kerana peranannya sebagai tonggak utama kepada jaminan bekalan dan sekuriti makanan negara. Adalah penting untuk meningkatkan kesedaran terutamanya di kalangan pembuat dasar dan pemegang taruh tentang kepentingan industri padi dan beras sekaligus mengenal pasti penyelesaian yang dapat menyumbang kepada pembangunan pengetahuan dan teknologi baharu bagi menangani isu dan cabaran yang dihadapi di sepanjang rantaian pengeluaran padi dan beras negara.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), YBhg Dato’ Haslina Abdul Hamid, industri padi dan beras merupakan salah satu daripada empat (4) subsektor utama yang diberi penekanan oleh MAFI. Dalam memperkatakan tentang industri padi dan beras, adalah penting untuk kementerian memahami kepentingan industri ini dan peranannya dalam cabaran global pada hari ini iaitu sekuriti makanan, perubahan iklim dan mewujudkan pertanian yang lestari.
Bagi menyemarakkan lagi persidangan ini, sebanyak 16 reruai pameran daripada syarikat berkaitan industri dan perkhidmatan padi turut dipamerkan sepanjang persidangan berlangsung dan dibuka secara percuma kepada orang ramai bermula 22-23 November 2022 mulai jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Sebanyak 75 poster teknologi daripada peserta persidangan turut dipamerkan pada PADI 2022.
Sebanyak 21 kertas kerja akan dibentang yang merangkumi satu kertas ucaptama, 3 pembentangan plenari dan 17 kertas kerja pembentangan jemputan. Persidangan padi kali ini akan dibahagikan kepada 4 sidang iaitu 3 sesi pembentangan dan 1 sesi forum yang memfokuskan kepada Pemerkasaan Teknologi dan Inovasi Padi dan Beras ke arah Kelestarian Pengeluaran, Strategi Pengurusan dan Teknologi Pengeluaran Padi dan Beras, peranan Agensi Kerajaan dan Swasta dalam Memakmurkan Industri Padi Negara dan Forum bertajuk “Kelestarian Padi dan Beras untuk Kemakmuran Bersama”. Ia bertepatan dengan keperluan semasa dan halatuju negara untuk subsektor padi dan beras negara. Lebih 400 orang peserta telah menghadiri persidangan ini.
Bersempena dengan majlis itu juga, MARDI turut melancarkan Pakej Sistem Amaran Awal Serangan Benah Perang. Pakej ini merupakan satu teknologi pemantauan populasi benah perang yang akan memberikan ramalan awal dalam tempoh satu minggu sebelum berlakunya serangan yang teruk pada tanaman padi. Sistem yang terdiri daripada empat komponen ini terdiri daripada sistem perangkap cahaya yang dilengkapi stesen cuaca, sistem pengambil imej mudahalih benah perang, sistem pengenalpastian dan pengiraan populasi dan aplikasi e-SIAAP untuk pemetaan indeks risiko penyakit. Penggunaan teknologi ini dapat mengurangkan penggunaan tenaga buruh, mempercepatkan tindakan pengawalan dan meningkatkan kecekapan pengesanan kebarangkalian berlakunya wabak serangan benah perang sebanyak 50%.
Turut diadakan bersempena majlis tersebut ialah sesi pertukaran MOU diantara MARDI dan BERNAS yang disaksikan oleh YBhg Dato’ Haslina Abdul Hamid. Bidang kerjasama yang telah dimeterai itu merupakan bidang kerjasama dalam penyelidikan padi dan beras yang merangkumi kerjasama dalam Peningkatan skala bagi teknologi padi dan beras yang terpilih; Penyelidikan pengendalian lepas tuai padi; Penyelidikan kajian sosio-ekonomi dan polisi padi dan beras; dan apa-apa bidang kerjasama lain yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua pihak.
Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Dr. Mohamad Zabawi bin Abdul Ghani, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI); YBhg. Dato’ Zahimi bin Hassan, YBhg Dato’ Azulita binti Salim, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang; YBhg Tuan Haji Kamarudin bin Dahuli, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
TAMAT
Pengarang
-
Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia
-
Pusat Komunikasi Korporat
Ibu Pejabat MARDI
Persiaran MARDI-UPM
43400 Serdang
Selangor -
03-8953 7201
-
03-8953 7220
-
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. -
https://www.mardi.gov.my