KLON KOPI BAHARU LIBERICA MARDI MAMPU MENINGKATKAN PENDAPATAN PENGUSAHA KOPI
Kluang, 17 Jun 2023 – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah melancarkan tiga klon kopi baharu dan turut melancarkan inovasi pengeluaran bahan tanaman kopi liberica secara keratan yang telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Sehingga kini, MARDI telah mengisytiharkan sepuluh klon kopi Liberica dan Robusta sejak tahun 1995. Pembangunan set ketiga klon kopi Liberica MARDI ini telah dimulakan pada tahun 1982 dengan pemilihan sebanyak 28 aksesi kopi daripada koleksi janaplasma kopi Liberica, dibiak secara klonal dan dinilai dalam peringkat penilaian awal hasil bermula tahun 1997 hingga 2005. Seterusnya 14 klon terpilih dimajukan ke peringkat penilaian lanjutan hasil bermula tahun 2015 hingga sekarang. Setelah melalui beberapa peringkat penilaian, sebanyak tiga (3) klon kopi dikenalpasti mempunyai prestasi hasil dan kualiti terbaik untuk diperkenalkan.
Ketiga-tiga klon baharu yang dinamakan MKL 8, MKL 9 dan MKL 10 adalah set ketiga yang diisytihar selepas set pertama (MKL 2, MKL 3 dan MKL 4) yang diisytihar pada tahun 1995 dan set kedua (MKL 5, MKL 6 dan MKL 7) pada tahun 2008. Klon – klon terbaharu ini amat sesuai disyorkan kepada petani atau pengusaha tanaman kopi untuk meningkatkan hasil sekaligus menjana pendapatan petani. Purata hasil kopi jambu bagi set klon kopi baharu ini antara 17 hingga 25 t/ha, iaitu sehingga 60% lebih tinggi daripada hasil klon komersial sedia ada. Dengan peratus pertukaran kopi jambu kepada kopi beras sebanyak 10%, klon baharu ini mampu menghasilkan kopi beras antara 1.9 hingga 2.7 t/ha, iaitu 25% lebih tinggi dari klon komersial. Berdasarkan kajian fitokimia, klon kopi Liberica baharu ini juga mempunyai kualiti biji kopi yang lebih baik dan berpotensi tinggi untuk dibangunkan sebagai produk premium kopi Liberica dengan fungsi kesihatan.
Menurut Tuan Chan Foong Hin, klon kopi Liberica baharu MARDI yang berhasil tinggi dan berkualiti ini mampu meningkatkan pengeluaran kopi negara. Dengan keunikan kualiti dan citarasa kopi Liberica Malaysia, beliau berharap semua pihak berganding bahu menjayakan hasrat kerajaan dan pihak berkepentingan (stakeholders) dalam meningkatkan ekonomi rakyat dan negara.
Pada hari ini juga, MARDI akan turut melancarkan teknologi pengeluaran bahan tanaman bagi kopi menggunakan kaedah keratan. Kaedah ini boleh mempercepatkan proses pengeluaran bahan tanaman (8 – 9 bulan) berbanding kaedah konvensional (cantuman baji) yang mengambil masa lebih lama (15 – 16 bulan). Dengan penjimatan masa selama 6 – 8 bulan, teknologi ini juga dapat menghasilkan anak pokok kopi tanpa menggunakan pokok penanti.
Menurutnya YB Tuan Chan Foong Hin lagi, dengan adanya kaedah penghasilan anak pokok menggunakan keratan tanpa pokok penanti, sudah pasti kos pengeluaran, tenaga buruh, masa dan input-input lain yang berkaitan dapat dijimatkan. Usaha penghasilan anak benih kopi melalui teknik ini adalah amat signifikan untuk perkembangan industri kopi negara. Menurutnya lagi, penanam kopi terpaksa bersaing dengan pengusaha komoditi-komoditi lain terutamanya sawit bagi mendapatkan bantuan dana, keluasan tanah penanaman, tenaga buruh dan kos input. Persaingan dari negara jiran juga merupakan salah satu cabaran besar dalam industri kopi negara selain kekurangan tenaga buruh serta kekurangan biji kopi tempatan.
Bersempena dengan majlis yang diadakan ini juga, MARDI turut menyerahkan anak pokok kopi liberica baharu kepada wakil peserta projek perintis kopi MARDI dan Jabatan Pertanian (DOA).
Majlis turut dihadiri oleh YB Dato’ Zahari bin Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor ; Dr Azman bin Ismail, Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI; Dato’ Dr Mohamad Zabawi bin Abdul Ghani, Ketua Pengarah MARDI; dan Tuan Haji Mohd Rafi bin Abdullah, Pegawai Daerah Kluang
TAMAT
Pengarang
-
Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia
-
Pusat Komunikasi Korporat
Ibu Pejabat MARDI
Persiaran MARDI-UPM
43400 Serdang
Selangor -
03-8953 7201
-
03-8953 7220
-
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. -
https://www.mardi.gov.my