Bagan Datuk, 14 Ogos – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah melancarkan empat varieti kelapa hibrid MARDI iaitu Mylag, Marleca, Carena, dan Careni yang telah disempunakan oleh Yang Berhormat Dato' Haji Mohd Zolkafly Bin Harun, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak dan turut merasmikan hari bertemu pelanggan MARDI Perak.
Kelapa hibrid yang telah dibangunkan ini merupakan hasil kacukan antara pokokpokok daripada jenis tinggi dan rendah yang terdapat dalam janaplasma kelapa MARDI di MARDI Bagan Datuk. Keempat-empat variet i hibrid kelapa ini amat sesuai disyorkan kepada petani atau pengusaha tanaman kelapa untuk meningkatkan hasilsekaligus meningkatkan pendapatan pengusaha. Varieti kelapa Hibrid MYLAG, MARECA, CARENA dan CARENI mampu menjana hasil yang tinggi dengan kapasiti pengeluaran melebihi 25,000 biji/ha setahun dan mempunyai ciri-ciri yang sangat baik dan amat disyorkan untuk petani kelapa.
Dengan mempunyai kelebihan buah yang tersendiri, keempat-empat varieti ini mampu menghasilkan kelapa berhasil tinggi kepada para pekebun. Sehingga kini, terdapat 22 aksesi kelapa dalam koleksi janaplasma di MARDI Bagan Datuk yang digunakan untuk menghasilkan varieti kelapa berhasil dan berkualiti tinggi. Justeru itu, beberapa inisiatif dan siri penyelidikan dilaksanakan bagi tanaman kelapa termasuk program pembaikbakaan, agronomi dan sistem pengeluaran, pengurusan perosak & penyakit dan pengendalian lepas tuai yang akhirnya berjaya menghasilkan varieti baharu kelapa. Hasilnya, lapan (8) hibrid kelapa berhasil tinggi telah dibangunkan sejak tahun 2005 lagi.
Menurut Dato' Haji Mohd Zolkafly, kekurangan benih bermutu tinggi ini merupakan masalah utama yang dihadapi oleh kumpulan pemegang taruh yang ingin menceburi bidang tanaman kelapa seperti petani dan estet. Analisis ekonomi mendapati Malaysia masih belum mencapai sasaran 100% dalam menampung permintaan tempatan dengan kadar sara diri (self-sufficiency ratio, SSR) yang direkodkan pada tahun 2021 ialah 69.6%. Dengan penggunaan per kapita sebanyak 24 kilogram per tahun, Malaysia juga masih bergantung kepada import kelapa iaitu sebanyak 31.8%.
Menurut beliau lagi, penanaman kelapa terpaksa bersaing dengan pengusaha komoditi lain terutamanya kelapa sawit bagi mendapatkan bantuan dana, keluasan tanah penanaman, tenaga buruh dan kos input. Persaingan dari negara jiran seperti Indonesia dan Thailand juga merupakan salah satu cabaran besar dalam industri kelapa negara.
Dalam mendepani cabaran-cabaran ini, pihak kerajaan dan MARDI sentiasa pekadan berusaha melaksanakan pelbagai strategi menghasilkan varieti kelapa yang berpotensi menyumbang kepada peningkatan hasil pengeluaran dan keluasan tanaman, bernutrisi tinggi dan berdaya maju. Sehubungan itu, tidak dapat dinafikan peranan penyelidikan dalam menghasilkan teknologi dan produk-produk berasaskan kelapa juga perlu diberikan penekanan sewajarnya.
Bagi mengiatkan penaman kelapa di Malaysia, MARDI bersama Malaysian Kuwaiti Investment Co Sdn. Bhd (MKIC) telah menjalankan perjanjian bersama dalam membangunkan 30 hektar penanaman benih kelapa hibrid MARDI di Tawau, Sabah. Melalui perjanjian bersama, MARDI akan memberi latihan secara teori dan hands on berkaitan kaedah penyediaan kawasan, kaedah penanaman, amalan agronomi serta pengurusan perosak dan penyakit dalam melaksanakan aktiviti melibatkanpenanaman dan penjagaan tanaman. Khidmat nasihat secara berkala akan dilakukan oleh MARDI di samping pemantauan perjalanan aktiviti melalui majlis penyerahan dokumen perjanjian MARDI dan MKIC yang disaksikan oleh Dato' Haji Mohd Zolkafly di majlis tersebut.
Pada majlis itu juga Dato' Haji Mohd Zolkafly turut menyerahkan 582 anak pokok kelapa hibrid kepada 3 peserta projek perintis Negeri Perak bagi tanaman kelapa dan turut menyampaikan Geran Agropreneur Muda Fasa 1 2023 MARDI Negeri Perak berjumlah RM80,000.
Bersempena majlis pelancaran itu juga, Dato' Haji Mohd Zolkafly turut merasmikan Hari Bertemu Pelanggan MARDI Perak. Antara program yang telah diatur adalah seminar teknologi kelapa hibrid, pameran dan demonstrasi teknologi MARDI serta pameran daripada pelbagai jabatan/agensi Kerajaan. Program-program ini merupakan bukti komitmen kerjasama erat dan berterusan MARDI bersama semua pihak dari jabatan dan agensi pengembangan pertanian. Malah, MARDI akan terus komited melaksanakan penyelidikan bagi menghasilkan teknologi dan inovasi baharu dari masa ke masa dalam memperkukuhkan sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara sejak 54 tahun penubuhannya.
Majlis turut dihadiri oleh Dr Azman bin Ismail, Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI dan Dato’ Dr Mohamad Zabawi bin Abdul Ghani, Ketua Pengarah MARDI.
TAMAT
Pengarang
-
Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia
-
Pusat Komunikasi Korporat
Ibu Pejabat MARDI
Persiaran MARDI-UPM
43400 Serdang
Selangor -
03-8953 7201
-
03-8953 7220
-
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. -
https://www.mardi.gov.my