SERDANG, 25 Ogos – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu telah menyempurnakan majlis perasmian Pameran Teknologi dan Inovasi Pertanian (Show-tech MARDI 2023) anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang bermula hari ini hingga 27 Ogos di Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS) di sini.
Ketua Pengarah MARDI, YBhg. Dato’ Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, pameran bertemakan ‘Peneraju Inovasi Agroteknologi’ itu adalah bertepatan dengan mandat MARDI dalam menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan teknologi dan inovasi dalam bidang pertanian.
”Teknologi yang mapan amat penting dalam mengukuhkan agenda keterjaminan makanan negara.
”Justeru, Show-Tech MARDI 2023 adalah platform untuk mempamerkan dan menghebahkan teknologi dan inovasi pertanian hasil penyelidikan MARDI sejak 50 tahun yang lalu kepada masyarakat dan pemain industri,” katanya.
Sementara itu, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu dalam ucapan perasmiannya berkata, bagi memastikan objektif jaminan sekuriti makanan negara tercapai, proses pemindahan teknologi adalah penting bagi meningkatkan kelestarian sumber pengeluaran, pemprosesan, pengedaran dan penyediaan makanan negara.
”Pemindahan teknologi pertanian akan memberi manfaat kepada masyarakat sekiranya ia dapat diaplikasikan secara efektif di lapangan.
”MARDI sebagai Institusi Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian telah menaja banyak teknologi berkaitan pertanian dan industri agromakanan di mana teknologi ini perlu dikembangkan kepada golongan sasar.
”Pendekatan bersepadu oleh agen-agen pengembangan dan penjana teknologi perlu diambil bagi memastikan berlaku seiring dengan peralihan zaman, jadi saya berharap Show-tech MARDI 2023 diharap mampu menjadi aspirasi bagi memastikan kelancaran dan kerancakan aktiviti pemindahan teknologi kepada golongan sasar seterusnya memastikan kelangsungan dan jaminan bekalan makanan negara, ” tambahnya.
Show-tech MARDI 2023 memfokuskan enam (6) kluster utama bidang penyelidikan di MARDI dengan lebih 300 Teknologi dan Inovasi Pertanian dipamerkan iaitu tanaman (hortikultur, tanaman makanan iaitu padi dan tanaman industri), ternakan, teknologi makanan, mekanisasi, pemindahan teknologi dan agropelancongan.
Show-tech MARDI 2023 akan dilangsungkan di dua tempat utama iaitu di dewan A dan Tapak Show plot. Dalam majlis ini juga, MARDI telah melancarkan empat (4) teknologi dan inovasi MARDI seperti:
i. Teknologi Biosensor – IoT untuk pengesanan pantas penyakit padi (BLB, BLS dan Karah) di lapangan
ii. Teknologi Biosensor – IoT pengesanan pantas Aflatoksin B1 pada jagung bijian
iii. Produk makanan menggunakan teknologi HPP sebagai teknik baharu pengawetan makanan
iv. Pakej teknologi makanan sedia dimakan (Ready-to-eat) menggunakan teknologi retort
MARDI juga memeterai Pertukaran Dokumen Perjanjian (MOA) bersama dengan sembilan (9) buah syarikat dan sesi penyerahan teknologi-teknologi MARDI kepada usahawan seperti:
i. Penyerahan Teknologi HPP dan Retort kepada usahawan
ii. Penyerahan Teknologi MARDI hasil kajian Pusat Penyelidikan Sainsdan Teknologi Makanan kepada Usahawan KADA
iii. Penyerahan Mock Up dan Sijil Penyertaan Projek Usahawan Pengeluar Bahan Tanaman Varieti MARDI Terpilih
Sempena majlis perasmian ini, YB Datuk Seri Haji Mohamad turut melancarkan 3 varieti bawang merah MARDI iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3 dan dua (2) buah bukudari Penerbit MARDI iaitu Buku Teknologi Pengeluaran Jagung Bijiandan Buku Merungkai Sistem Penanda Molekul .
Turut hadir YBhg. Datuk Lokman Hakim bin Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YBhg. Dr. Azman bin Ismail, Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI dan YBhg. Dato’ Dr. Mohamad Zabawi bin Abdul Ghani, Ketua Pengarah MARDI.
Pengarang
-
Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia
-
Pusat Komunikasi Korporat
Ibu Pejabat MARDI
Persiaran MARDI-UPM
43400 Serdang
Selangor -
03-8953 7201
-
03-8953 7220
-
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. -
https://www.mardi.gov.my