Skip to main content

Soalan
Lazim

Hubungi
Kami

Maklum Balas
& Aduan

Peta
Laman

Ayer Keroh, 26 Februari – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah mengadakan Persidangan Mekanisasi pertanian dan makanan kebangsaan (NCAFM) 2024 yang telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Dr Azman bin Ismail, Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI. 
 
Bertemakan “Memperkasakan Keterjaminan Makanan melalui Modenisasi Agro-Makanan”. Merujuk kepada tema yang digunakan, teknologi mekanisasi dan automasi pertanian dan makanan dilihat memainkan peranan penting ke arah membantu pengukuhan keterjaminan makanan negara. Sejajar dengan usaha untuk mentransformasi sektor agromakanan sebagaimana yang ditekankan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMk12) dengan memberi penekanan pada pemodenan sektor pertanian untuk menjadikannya lebih moden, dinamik dan kompetitif. Semua ini perlu disokong melalui penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan, dan inovasi (R&D&C&I) yang berterusan secara bersungguh-sungguh. 
 
Menurut Dr Azman, keterjaminan  makanan merupakan satu agenda besar kerajaan Malaysia untuk mencapai kecukupan dalam bekalan makanan. Isu-isu seperti hasil rendah, kos operasi tinggi, kehilangan lepas tuai tinggi, penggunaan sumber tidak efisyen, dan perubahan iklim dapat diatasi melalui penggunaan teknologi-teknologi baharu yang sesuai dan praktikal. Kemunculan teknologi baharu atau moden menjadi faktor utama pemangkin dalam mempergiat produktiviti sektor pengeluaran makanan tempatan.  Didalam sektor pertanian, khususnya produk berasaskan makanan, memiliki potensi besar untuk berkembang seiring dengan pertumbuhan populasi dunia yang dijangka meningkat dari 8.0 bilion pada tahun 2023 kepada 8.5 bilion pada tahun 2030. Ini secara langsung akan meningkatkan permintaan kepada produk makanan dalam tahun-tahun mendatang.
 
Kini terdapat kepelbagaian teknologi dalam bidang pertanian seperti mekanisasi & automasi ladang, mekanisasi & automasi lepas tuai, mekanisasi & automasi pemprosesan makanan, sistem pengeluaran pertanian didalam persekitaran terkawal, teknologi penderia, teknologi IR4.0 dan sebagainya. Di sinilah, jurutera serta saintis pertanian dan makanan memainkan fungsi penting bagi mengembangkan dan mempromosikan teknologi untuk menghadapi cabaran masa hadapan. Penggunaan buruh yang lebih efisyen, ketepatan waktu operasi dan pengurusan input yang lebih efisyen dengan fokus kepada sistem produktiviti tinggi yang mampan adalah sasaran untuk mengukuhkan keterjaminan makanan kita.
 
Enam topik dibentangkan didalam persidangan ini ialah Mekanisasi dan Automasi Pengeluaran Pertanian , Mekanisasi dan Automasi Lepastuai dan Proses Makanan, Teknologi Pertanian Termaju, Teknologi Tanah, Air dan Tenaga, Teknologi Alam Sekitar dan Pengurusan Sisa dan Pengembangan Pertanian. Persidangan yang dianjurkan ini telah dianjurkan bersama Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (MPIB), Universiti Putra Malaysia (UPM), Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) & Persatuan Jurutera Pertanian dan Makanan Malaysia (MSAE). Persidangan ini dianjurkan dengan sokongan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kerajaan Negeri Melaka telah disertai 275 orang peserta yang terdiri daripada institusi penyelidikan, universiti, jabatan / agensi kerajaan serta syarikat swasta. 
 
Bersempena dengan majlis perasmian persidangan tersebut, Dr Azman turut melancarkan Sistem Mekanisasi Pengeluaran dan Pengendalian Lepas Tuai Tembika. Pakej teknologi ini dilengkapi dengan Buku Prosedur Operasi Standard (SOP) Mekanisasi Pengeluaran Tembikai, dan Mekanisasi Pembersihan dan Pengelasan Saiz Tembikai. Ia boleh menjadi asas panduan dan rujukan kepada pegawai pengembangan, petani dan pengusaha yang berminat untuk mengusahakan penanaman dan pengeluaran buah tembikai.    

Pengarang

  • Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia

  • Pusat Komunikasi Korporat
    Ibu Pejabat MARDI
    Persiaran MARDI-UPM
    43400 Serdang
    Selangor

  • 03-8953 7201

  • 03-8953 7220

  • Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

  • https://www.mardi.gov.my

Media Sosial MARDI

Berita Berkaitan