Skip to main content

Soalan
Lazim

Hubungi
Kami

Maklum Balas
& Aduan

Peta
Laman

Teknologi MARDI

Halaman 7 dari 9: Halaman 7


Teknologi Sains Tanah, Air & Baja
  • TEKNOLOGI SAINS TANAH & AIR
       

    RICEFERT-OC

    RiceFert adalah teknologi pembajaan lokasi spesifik untuk tanaman padi. Versi terbaharu, RiceFert-OC, telah dinaik taraf menggunakan JavaScript untuk akses dalam talian. Sehingga 2022, teknologi ini diterima di seluruh jelapang padi utama di semenanjung Malaysia dan kawasan luar jelapang. Kini, Jawatankuasa Maklumat Geospatial Padi Kebangsaan menggunakan sistem RiceFert untuk pemetaan dan pengesyoran pembajaan secara digital melalui laman web https://makgeopadi.mysa.gov.my


     
    PESTISORB

    Teknologi Pestisorb terdiri dari gabungan bahan buangan pertanian tempatan yang telah dikenal pasti berkesan dalam mengurangkan residu pestisid di dalam persekitaran. Bahan yang telah dikenal pasti adalah tempurung kelapa dan sekam padi. Bagi meningkatkan keberkesanan Pestisorb, bahan-bahan ini telah dibakar menjadi biochar melalui teknik pembakaran terkawal. Kesemua biochar ini kemudiannya telah dicirikan melalui analisis CHN-elemental, kandungan abu, pH penjerap dalam pengukuran larutan, luas permukaan (BET) dan pengimbasan mikroskop elektron (SEM).

  • TEKNOLOGI PERLADANGAN ORGANIK
      TEKNOLOGI PENGELUARAN KUBIS TANAH RENDAH SECARA ORGANIK

    Teknologi pengeluaran kubis secara organik di tanah rendah dijana bagi memastikan bekalan kubis organik di tanah rendah berterusan dan dapat diusahakan dengan lebih efisien. Pakej pengeluaran ini meliputi pelbagai aspek seperti pengurusan anak benih, penyediaan tapak, penanaman di ladang, pembajaan dan pengairan serta penuaian dan pengendalian lepas tuai telah berjaya dihasilkan. Analisis ekonomi juga menunjukkan bahawa penanaman kubis organik di tanah rendah adalah berdaya maju dan mampu memberikan pulangan yang baik.



     
    PAKEJ TEKNOLOGI PENGELUARAN CILI ORGANIK DAN INTENSIF

    Pakej teknologi pengeluaran cili organik ini melibatkan penggunaan teknologi MARDI seperti baja BioRichar sebagai baja organik dan TrichoMAR sebagai biopestisid untuk mengawal penyakit antraknos cili. Pakej teknologi ini juga mencadangkan salad sebagai tanaman regu kepada cili, manakala bunga Turnera subulata bertindak sebagai tanaman sempadan yang menjadi perumah kepada musuh semula jadi (kumbang kura) untuk afid. Pakej teknologi pengeluaran cili organik dan intensif ini dapat membantu meningkatkan pengeluaran cili organik tempatan dari ladang myOrganic dalam negara.



     
     
      TEKNOLOGI PENGELUARAN INTENSIF SAYURAN BERBUAH SECARA ORGANIK – CILI DAN TOMATO (TANAMAN REGU)

    Teknologi pengeluaran intensif sayuran buah secara organik (cili dan tomato) ini menggunakan kaedah penanaman secara beregu dengan sayuran berdaun. Hasil kajian mendapati cili sesuai ditanam bersama salad yang bertindak sebagai tanaman penghalau, manakala tomato sesuai ditanam bersama kailan dan sawi yang berfungsi sebagai tanaman penarik.



     
    PAKEJ TEKNOLOGI PENGURUSAN PEROSAK SAYURAN SECARA ORGANIK

    Pakej teknologi bagi pengurusan perosak dan penyakit ini menggunakan biopestisid terpilih bagi tanaman cili serta kesan strip bunga (tunera) dan serai makan pada tanaman okra. Bagi penyakit dan perosak utama cili didapati biofungisida berasaskan Trichoderma dapat mengurangkan insiden dan keterukan penyakit antraknos pada cili, manakala penggunaan minyak bawang putih, neem dan Bioguard dapat mengurangkan populasi serangan perosak afid dan lalat putih. Penanaman okra bersama tunera dan serai makan menggunakan kaedah kejuruteraan ekologi menunjukkan penurunan pada bilangan serangga perosak berbanding dengan kawalan. Kumpulan tunera mempunyai bilangan serangga bermanfaat yang lebih tinggi berbanding dengan serai makan dan kawalan. Hasil jualan okra adalah lebih tinggi pada kumpulan tunera.



       
     
      BIOPESTISID TRICHOMAR BAGI KAWALAN PENYAKIT ANTRAKNOS PADA CILI

    Teknologi TrichoMAR mengandungi sekurang-kurangnya purata colony forming unit (CFU) pada 1.0 x 107.  Aplikasi di lapangan turut mendapati TrichoMAR mampu mengurangkan jangkitan penyakit antraknos sehingga 88%. Aplikasi TrichoMAR di ladang adalah secara semburan bagi tempoh selang masa antara 7 - 10 hari bermula pada peringkat awal pengeluaran buah dan boleh juga diaplikasikan dalam penyediaan tanah dan medium tanaman.


     
    BAJA BIO-ORGANIK (BIORICHAR)

    Formulasi baja Bio-Organik berasaskan biochar dan sisa biomas pertanian yang diperkaya dengan makro dan mikronutrien, serta mikrob bermanfaat yang penting untuk pengeluaran tanaman organik yang lebih tinggi dan mampan. Teknologi mesra alam dan menjimatkan kos ini bertujuan untuk memberikan hasil pengeluaran organik yang lebih mampan dan optimum. Formulasi baja ini mematuhi garis panduan myOrganik untuk ladang yang mendapat pensijilan organik dan individu yang berminat dalam pertanian mesra alam.

     
     
      PENGOMPOSAN PANTAS YANG BERPUTAR UNTUK SISA SAYUR

    Sistem pengomposan pantas yang berputar menggunakan tenaga elektrik untuk memutar tong yang mengandungi campuran sisa menggunakan nisbah C/N yang betul dan menggunakan konsep degradasi aerobik untuk menghasilkan kompos. Sistem ini adalah mudah alih dan boleh digunakan oleh pengusaha ladang berskala kecil serta boleh dimiliki dengan kos yang rendah. Sistem ini dipercayai dapat menyelesaikan kesan pencemaran alam sekitar akibat sisa pertanian dan meningkatkan pendapatan petani melalui pengeluaran kompos yang berkualiti tinggi.

  • TEKNOLOGI CENDAWAN
    KULTUR CENDAWAN TIRAM KELABU, ISOLAT MP 9 DAN MP 28

    Teknologi pengeluaran tiram kelabu isolat MP 9 dan MP 28 didapati memberikan kualiti yang lebih baik berbanding dengan cendawan tiram yang terdapat di pasaran. Kelebihan dari segi kualiti dan saiz yang lebih besar serta ketebalan cendawan isolat berbanding dengan yang sedia ada di pasaran. Cendawan isolat berupaya mengeluarkan  hasil lebih cepat, hasil tahan lebih lama dan isolat yang lebih rintang terhadap pencemaran berbanding dengan isolat cendawan di pasaran.

      
     
      BENIH CECAIR TIRAM KELABU DAN KUKUR

    Teknologi penghasilan benih cecair untuk cendawan tiram kelabu (MP 9 dan MP 28) serta cendawan kukur dihasilkan menggunakan bioreaktor. Benih cecair bagi kedua-dua jenis cendawan ini menunjukkan pertumbuhan miselium dan penghasilan cendawan yang lebih cepat dari benih pepejal. Dari segi pengeluaran hasil, benih cecair adalah setara dengan benih pepejal. Penggunaan benih cecair merekodkan kadar pencemaran yang lebih rendah dari benih pepejal, sekitar 3%. Benih cecair turut digunakan sebagai inokulum pemula untuk penghasilan benih pepejal. Kelebihan dapat mengurangkan tempoh waktu penghasilan serta mengurangkan kadar pencemaran benih cendawan pepejal (substrat biji gandum).


     
    BENIH PEPEJAL CENDAWAN TIRAM KELABU DAN KUKUR

    Teknologi pengeluaran benih pepejal cendawan tiram kelabu (MP 9 dan MP 28) dan cendawan kukur telah dihasilkan dengan menggunakan biji gandum sebagai substrat. Benih yang dihasilkan dapat meningkatkan hasil (pengeluaran hasil yang cepat dan 39 hari tempoh pemeraman) serta mengurangkan peratusan pencemaran.

      
     
      ALAT SUNTIKAN BENIH CENDAWAN CECAIR BOLEH LARAS (ADJUSTABLE VOLUME LIQUID SPAWN INJECTOR, AVLI)

    ALVI merupakan alat khusus untuk penyuntikan benih cecair pada beg substrat habuk kayu (medium penanaman cendawan). Penggunaan alat ini dapat meningkatkan produktiviti dengan pengurangan bilangan pekerja yang diperlukan untuk proses suntikan benih. Penjimatan tenaga kerja (masa) sehingga 60% dicapai bagi suntikan benih dengan menggunakan peralatan ini. Penggunaan alat ini juga dapat mengurangkan pencemaran pada bongkah habuk kayu jika dibandingkan dengan suntikan secara konvensional. Peralatan ini bersifat mudah alih yang boleh digunakan di mana sahaja jika diperlukan.


     
    AMALAN LEPAS TUAI CENDAWAN KUKUR

    Amalan lepas tuai untuk cendawan tiram kelabu MP 9, MP 28 dan kukur telah dibangunkan. Bagi isolat MP 28 dan cendawan kukur, kesegarannya terpelihara sehingga dua minggu jika disimpan pada suhu 20 °C. Sebaliknya, tiram kelabu MP 9 bertahan lebih lama, iaitu selama tiga minggu pada suhu yang sama.
     
     
      TEKNOLOGI PENGHASILAN CENDAWAN KUKUR KERING

    Teknologi penghasilan cendawan kering kukur dihasilkan melalui penggunaan rumah solar. Rumah solar merupakan struktur bangunan yang diliputi plastik cerah secara keseluruhannya.. Sistem pengeringan ini membolehkan cendawan kukur kering yang bertahan sehingga enam bulan. Cendawan kering ini perlu direndam dalam air sebelum dimasak.

  • TEKNOLOGI BAJA
    REALSTRONG N BIO-BOOSTER

    Baja bio RealStrong N Bio-Booster telah dibangunkan menggunakan strain Bacillus subtillis (NCF4) yang diasingkan daripada kompos dan dihasilkan menggunakan medium kos efektif, MARDI Growth Medium (MGM). Hasil daripada kajian peningkatan baja bio RealStrong N Bio-Booster telah menunjukkan kesan positif ke atas sifat kimia tanah (pH, jumlah N dan jumlah karbon) dan populasi mikroorganisma berfaedah dalam tanah.



     
     
       
    GREENCOAT FERTILISER FOR MANGO AND PAPAYA

    Teknologi GreenCoat Smart Fertilizer untuk tanaman mangga dan betik hasil penyelidikan MARDI dapat membantu pengusaha dan pengeluar buah-buahan meningkatkan hasil dan kualiti buah-buahan sekaligus mengurangkan kos pengeluaran dan secara tidak langsung dijangka dapat mengurangkan harga jualan mangga dan betik. Selain itu, baja ini juga mesra alam kerana ia adalah baja pelepasan perlahan dan terkawal masa yang boleh mengurangkan kadar larut lesap nutrien, mengurangkan kadar penggunaan baja  dan meningkatkan kecekapan pengambilan nutrien.



     
    GLADIATOR 1.0

    GLADIATOR1.0 ialah inokulan bakteria berfaedah yang mendorong rintangan sistemik dalam tumbuhan pisang terhadap penyakit darah. Produk ini dibangunkan menggunakan bakteria berfaedah tempatan Baccilus sp. bakteria yang diformulasikan dalam bentuk cecair dan diaplikasi dengan menyiram pada akar pokok pisang. Selain sebagai produk mesra alam, Gladiator 1.0 juga berkesan dalam mengawal penyakit sehingga 92% dan dianggap sebagai teknologi hijau serta sesuai untuk pengeluaran pisang konvensional dan organik. Ia juga menggalakkan pertumbuhan vegetatif, mempercepatkan pengeluaran tandan bunga dan pisang serta boleh memberikan hasil yang lebih tinggi.



     
     
      DIEBACK BUSTER

    Dieback Buster ialah bio-inoculant yang boleh melindungi betik daripada penyakit dieback yang disebabkan oleh Erwinia mallotivora (ER), sebelum ini dikenali sebagai Erwinia papayae. Dengan mekanisme rintangan sistemik, Dieback Buster akan bertindak sebagai inokulan mikrob untuk mencetuskan sistem imun tumbuhan untuk mencegah jangkitan daripada bakteria Erwinia mallotivora.



     
    CAMOB FOLIAR FERTILIZER

    Teknologi kelat nutrien kalsium atau baja foliar CAMOB dibangunkan untuk memastikan kalsium dapat digerakkan dengan berkesan dan cekap dalam tisu tumbuhan. Baja ini larut dalam air dan mudah diaplikasi pada daun serta memudahkan kecekapan penyerapan oleh tanaman. Produk CAMOB juga stabil di bawah simpanan biasa dan tidak toksik.

     
     
      NITRO-HUMIC ACID (NHA)

    Asid nitro-humic (NHA) ialah bahan makromolekul dengan ciri biokimia aktif. Ia terkenal dengan fungsinya dalam meningkatkan kesuburan tanah, menggalakkan penyerapan nutrien oleh tumbuhan, meningkatkan aktiviti biologi tanah dan meningkatkan aktiviti enzim untuk meningkatkan keberkesanan fotosintesis daun. Ia juga mempunyai pelbagai aplikasi tetapi biasanya digunakan dalam pengeluaran produk baja.


     

    TEKNIK PEMBAJAAN SAYUR-SAYURAN DENGAN SELENIUM

    Teknik pembajaan sayur-sayuran dengan selenium (Se) dibangunkan untuk menghasilkan tumbuhan yang diperkayakan Se. Peningkatan yang ketara dalam kandungan Se telah diperhatikan apabila Se dimasukkan ke dalam program pembajaan berbanding sayur-sayuran yang ditanam secara konvensional. Produk sayur-sayuran diperkaya Se ini dilihat mampu mempelbagaikan lagi sumber makanan diperkaya Se dan mengurangkan insiden kekurangan Se di kalangan rakyat Malaysia.

     
     
       

    KAPSUL INOKULAN TANAH BERMANFAAT (BIOPLUS)

    Bio+ mengandungi tiga jenis bakteria tanah bermanfaat iaitu Bacillus velezensis yang mempunyai tiga fungsi iaitu dapat mengikat nitrogen dan melarutkan fosforus dan kalium, manakala Paenibacillus polymyxa dan Bacillus amyloliquefaciens yang mempunyai dua fungsi iaitu mengikat nitrogen dan melarutkan fosforus) yang mampu meningkatkan kecekapan pengambilan nutrien oleh tanaman serta meningkatkan kesuburan tanah dengan menukarkan nutrien yang terikat dalam tanah kepada nutrien yang tersedia untuk diambil oleh tanaman.

     

Halaman 8
Page