Skip to main content

Soalan
Lazim

Hubungi
Kami

Maklum Balas
& Aduan

Peta
Laman

MARDI LANCAR DUA VARIETI SPESIALTI PADI WANGI
Seberang Perak, 14 Ogos – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah melancarkan dua varieti spesialti baharu Padi Wangi iaitu FELCRA MRQ 107 dan MRQ 111 yang telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Sehingga kini, MARDI telah menghasilkan 53 varieti padi di mana 41 daripadanya adalah varieti bagi beras putih biasa dan 12 varieti spesialti. Varieti spesialti tersebut terdiri daripada empat varieti pulut (Masria, Pulut Malaysia 1, Pulut Siding dan Pulut Hitam 9), dua varieti warna (MRM 16 dan MRQ 98) dan enam lagi merupakan padi wangi (MRQ 50, MRQ 74, MRQ 76, MARDI Wangi 88, MRQ 103, MRQ 104) serta dua varieti yang akan dilancarkan FELCRA MRQ 107 dan MRQ 111.

Padi FELCRA MRQ 107 dan MRQ 111 yang dilancarkan ini mempunyai kelebihan pada ciri berasnya yang beraroma seakan-akan berbau pandan, sedikit melekit, lembut serta mempunyai ciri-ciri yang bersesuaian  untuk diproses sebagai beras rebus atau parboiled rice di mana ia sangat sesuai disasarkan kepada pengguna yang mementingkan nilai pemakanan yang sihat. Kedua-dua varieti ini mampu mencapai hasil tuaian melebihi 5.0 metrik tan per hektar dengan pengurusan yang baik. FELCRA MRQ 107 boleh dituai dalam tempoh 112-115 hari lepas tabur manakala MRQ 111 dapat dituai dalam tempoh 116-118 hari lepas tabur.

Menurut YB Datuk Hajah Rubiah, penghasilan varieti padi wangi baharu MARDI iaitu FELCRA MRQ 107 dan MRQ 111 sebagai beras istimewa adalah selari dengan salah satu strategi yang telah digariskan di dalam DAN 2.0 di bawah sub-sektor padi dan beras ini iaitu memanfaatkan potensi varieti beras istimewa tempatan. Ciri dan kualiti istimewa pada varieti padi seperti aroma, warna, nutrisi, dan ciri beras memberi nilai tambah kepada varieti itu sendiri. Di samping itu, permintaan pengguna terhadap beras istimewa semakin meningkat disebabkan perubahan gaya hidup dan tahap sosio-ekonomi rakyat Malaysia. Justeru, kewujudan dan kepelbagaian beras istimewa tempatan yang setanding dengan kualiti beras import dapat membantu Kerajaan dalam mengurangkan import beras istimewa iaitu sekitar 25% daripada jumlah import beras.

Varieiti padi FELCRA MRQ 107 merupakan hasil kolaborasi di antara dua kementerian iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui agensinya iaitu MARDI dan FELCRA Berhad. Varieti padi ini akan dikomersilkan oleh FELCRA Berhad sebagai padi wangi speasilti tempatan (beras rebus) yang setanding dengan varieti import. Padi keluaran FELCRA MRQ 107 ini akan mula ditanam secara skala besar di Projek FELCRA Berhad Seberang Perak pada pertengahan tahun 2025.

Manakala MRQ 111 sedang dalam proses memeterai memorandum persefahaman untuk tujuan pengkomersialan dengan Syarikat FGV Holdings Bhd. Benih padi baka dan asas dibiakkan pada musim luar 2024, seterusnya benih daftar pada musim utama 2024/2025 dan dijangka benih sah akan berada di pasaran pada luar musim 2025.   MARDI mengalu-alukan kerjasama berterusan dari pihak FELCRA dan pemain-pemain industri yang lain agar dapat mengambil peluang dalam usaha pengkomersialan varieti padi FELCRA MRQ 107 dan MRQ 111 dan sekali gus akan dapat memperluaskan penanamannya di Malaysia.

Bersempena dengan majlis yang diadakan ini, YB Datuk Hajah Rubiah turut menyampai Peruntukan Pembangunan Kerajaan Rolling Plan 4 RMk 12 Tahun 2024 bagi Projek Pembangunan Sosial FELCRA Berhad Seberang Perak berjumlah RM1.535 juta. Projek ini merangkumi pelbagai program kesejahteraan peserta seperti naik taraf masjid, baik pulih dewan serta pembinaan pintu gerbang yang pastinya akan menyerlahkan lagi daya tarikan Felcra Seberang Perak sebagai sebuah lokasi pembangunan sosial dan perusahaan agrikomoditi yang mampan.  Majlis turut menyampaikan empat (4) touch point kepada pemimpin pesawah kawasan IADA Barat Seberang Perak iaitu bagi Projek Menaiktaraf Infrastruktur Parit Ladang, Projek Perataan Tanah Sawah, Projek Pengapuran Tanah Sawah, dan Projek Pemulihan Tanah (Organik) yang berjumlah RM5.581juta.

Majlis turut di hadiri oleh YB Dato’ Mohd Zolkafly bin Harun, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak, YBrs. Dr Azman bin Ismail, Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI, YBhg Dato’ Dr. Mohamad Zabawi Bin Abdul Ghani, Ketua Pengarah MARDI, YBhg. Encik Mohamed Ismi Bin Abdul Majid, Timbalan Ketua Pegawai FELCRA Berhad.

 TAMAT

Pengarang

  • Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia

  • Pusat Komunikasi Korporat
    Ibu Pejabat MARDI
    Persiaran MARDI-UPM
    43400 Serdang
    Selangor

  • 03-8953 7201

  • 03-8953 7220

  • Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

  • https://www.mardi.gov.my

Media Sosial MARDI

Berita Berkaitan