Skip to main content

Soalan
Lazim

Hubungi
Kami

Maklum Balas
& Aduan

Peta
Laman

Merlimau, 4 November – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah melancarkan varieti baharu padi MARDI iaitu MR326 atau KESIDANG yang telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Utama Ab. Rauf bin Yusoh, Ketua Menteri Melaka.
 
Varieti MR 326 merupakan varieti padi baharu MARDI yang diperkenalkan untuk meningkatkan hasil dan alternatif kepada varieti sedia ada terutamanya di kawasan luar jelapang. MR 326 dihasilkan melalui kacukan antara induk SPD 175 dan MR255. Varieti ini dikategorikan sebagai pokok yang sederhana tinggi, tegak serta daun pengasuh sederhana panjang. Bagi tempoh masa matang adalah sekitar 118 – 120 hari lepas tabur dan dikategorikan sebagai tempoh matang sederhana. Berat 1,000 biji sebanyak 29.2g dan faktor ini menyumbang kepada potensi hasil yang tinggi. Perolehan mengilang adalah 61.3% dengan perolehan beras kepala sekitar 75%. Beras MR 326 dikategorikan sebagai beras yang panjang dan tirus, kandungan amilosanya sederhana (22.5%) dan tekstur nasinya adalah seroi dan sederhana lembut.
 
Varieti MR 326 telah melepasi fasa penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama 15 tahun yang bermula pada tahun 2009. Fasa akhir kajian iaitu projek peningkatan skala telah dilaksanakan di Kampung Sempang Merlimau, Melaka yang akan dijadikan sebagai plot pengisytiharan varieti pada hari ini. Selain peningkatan skala bersama pesawah di kawasan luar jelapang di Semenanjung malaysia, varieti ini juga boleh diketengahkan di tanam di Sabah dan Sarawak. Varieti ini juga boleh diperkenalkan di kawasan jelapang padi di Malaysia kerana potensi hasilnya juga adalah baik dan secara amnya setanding dengan varieti MR297 di sesetengah lokasi seperti di Titi Serong Perak, Sg Besar Selangor, Teratak Pulai kelantan, Mulong kelantan dan Penaga Pulau Pinang.

Sehingga kini, MARDI telah menghasilkan 56 varieti padi di mana 41 daripadanya adalah varieti bagi beras putih biasa dan 12 varieti spesialti. Varieti spesialti tersebut terdiri daripada empat varieti pulut (Masria, Pulut Malaysia 1, Pulut Siding dan Pulut Hitam 9), dua varieti warna (MRM 16 dan MRQ 98) dan enam lagi merupakan padi wangi (MRQ 50, MRQ 74, MRQ 76, MARDI Wangi 88, MRQ 103, MRQ 104) serta dua varieti yang telah dilancarkan pada bulan lepas iaitu FELCRA MRQ 107 dan MRQ 111 dan satu varieti yang dilancarkan pada hari ini iaitu MR326 atau diberi nama KESIDANG.
 
Menurut YAB Datuk Seri, dengan pengenalan varieti baharu MR326 ini serta penetapan harga minimum padi RM1,300 per tan dan subsidi pengeluaran RM550 per tan oleh kerajaan, Vareiti padi MR326 akan menarik minat lebih ramai petani khususnya golongan muda untuk melibatkan diri di dalam penanaman padi. Beliau juga berharap agar pengeluar benih yang berhampiran dengan Negeri Melaka dapat mengambil peluang ini untuk mengedarkan benih padi sah MR 326 supaya bekalan benih padi sah mencukupi di Negeri Melaka dan seterusnya merancakkan aktiviti penanaman padi di negeri ini.

Bersempena dengan majlis yang diadakan ini, YAB Datuk Seri turut menyampaikan benih padi MR362 kepada empat wakil pengeluar benih dan tuan tanah iaitu Encik Rahmad bin Anuar serta turut menyampaikan Benih padi MR315 kepada wakil peserta dari 7 peserta projek perintis penanaman padi MR315 negeri Melaka.

Majlis turut di hadiri oleh YB Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan; YB Dato' Azhar Bin Haji Arshad, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka; YB Datuk Dr. Muhamad Akmal Bin Saleh, ExcoKemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka; YBrs. Dr Azman bin Ismail, Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI, dan YBhg Dato’ Dr. Mohamad Zabawi Bin Abdul Ghani, Ketua Pengarah MARDI.

TAMAT
   

Pengarang

  • Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia

  • Pusat Komunikasi Korporat
    Ibu Pejabat MARDI
    Persiaran MARDI-UPM
    43400 Serdang
    Selangor

  • 03-8953 7201

  • 03-8953 7220

  • Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

  • https://www.mardi.gov.my

Media Sosial MARDI

Berita Berkaitan