Skip to main content

Soalan
Lazim

Hubungi
Kami

Maklum Balas
& Aduan

Peta
Laman

Info

Prolog Ketua Pengarah

YBhg. Dato' Dr. Mohamad Zabawi b. Abdul Ghani

Ketua Pengarah MARDI

MARDI ialah sebuah badan berkanun yang diamanah untuk menjalankan penyelidikan dalam bidang makanan dan pertanian dan industri asas tani. Usaha penyelidikan MARDI selama hampir 50 tahun telah menghasilkan pelbagai varieti dan klon tanaman baru, baka ternakan baru dan kaedah pengurusannya. Teknologi terkini telah juga dihasilkan dalam bidang pemprosesan makanan dan pengendalian lepas tuai bagi produk hotrikultur dan ternakan. Teknologi ICT dimanfaatkan dalam pengurusan dan pengendalian ladang seperti teknologi "penanaman tepat" atau precision farming bagi tanaman padi serta penganggaran hasil tanaman menerusi teknik pengimejan. Teknik-teknik baru juga dimajukan untuk pengurusan alam sekitar dan sumber pertanian terutamanya air, tanah dan sumber genetik dengan lebih cekap.

Selain melaksanakan projek Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) secara kontrak, Institut juga menyediakan khidmat teknikal dan pembangunan usahawan dalam bidang makanan, pertanian dan khidmat lain dalam industri berkenaan. Khidmat teknikal adalah dalam bentuk khidmat nasihat, perundingan, latihan teknikal, khidmat makmal dan pengesahan mutu, pembangunan produk dan proses serta peningkatan teknologi.

Petani dan usahawan yang menerima pakai teknologi MARDI telah berjaya menyumbangkan kepada kemajuan sektor makanan, pertanian dan industri asas tani negara. Ini telah membantu memampankan sektor pertanian sebagai penyumbang kepada ekonomi negara.

Sebagai sebuah organisasi yang menjalankan urusan teras penyelidikan dalam bidang sains dan teknologi, MARDI menyediakan kumpulan pakar dalam bidang-bidang yang dikenalpasti diperlukan, serta memberi sumbangan berkesan terhadap korpus ilmu secara global.

Segala maklumat, penemuan saintifik dan ilmu pertanian yang diperolehi dari aktiviti R&D disalurkan melalui bahan penerbitan serta persidangan dan pameran peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Bagi memastikan MARDI tidak ketinggalan dalam perkembangan teknologi dalam bidang makanan dan pertanian di peringkat global, perhubungan rapat dengan beberapa institut penyelidikan, universiti dan kumpulan jaringan di peringkat nasional dan antarabangsa sentiasa diperkembangkan.

Kunjungan anda ke laman web MARDI ini sangat dihargai. Laman web MARDI akan sentiasa dikemaskini untuk memberi maklumat tentang aktiviti penyelidikan terkini serta pencapaian dan produk terbaru hasil R&D MARDI. Pakej maklumat dan rangkaian topik membolehkan anda mendapatkan lebih fakta tentang pertanian tropika dan makanan. Laman web MARDI yang mengandungi pautan dengan organisasi global dapat membantu anda mencari maklumat dalam bidang pertanian secara meluas dengan lebih mudah.

Saya, bagi pihak MARDI mengucapkan terima kasih dan selamat melayari laman web MARDI dan sila hubungi kami jika anda memerlukan maklumat lanjut. Terima kasih.

  • Dipapar pada 18 Oktober 2022
  • Dikemaskini pada 13 April 2023