Skip to main content

Soalan
Lazim

Hubungi
Kami

Maklum Balas
& Aduan

Peta
Laman

PERSIDANGAN KEBANGSAAN PEMINDAHAN TEKNOLOGI 2022

IPOH, 8 November 2022  – Yang Berbahagia Dato’ Haslina binti Abdul Hamid, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan hari ini telah merasmikan Persidangan Kebangsaan Pemindahan Teknologi (CONFERTECH 2022) di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh, Perak anjuran MARDI dengan kerjasama Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM). Bertemakan “Pemindahan Teknologi: Mendepani Cabaran Sekuriti Makanan”, ianya selaras dengan hasrat kerajaan bagi memperkasakan pemindahan teknologi pertanian kepada golongan sasar bagi meningkatkan produktiviti dan menjamin kelestarian makanan negara bagi fasa pasca COVID-19 serta melalui Dasar Agromakanan Negara 2.0 dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 yang telah dibangunkan dengan mengambil kira isu dan cabaran sekuriti makanan di Malaysia.
 
Persidangan CONFERTECH merangkumi 24 pembentangan yang terbahagi kepada 5 sesi iaitu satu sesi ucaptama dan 4 sesi pembentangan kertas kerja lisan. Kesemua pembentangan ini akan  menjurus kepada isu dan strategi mendepani cabaran pemindahan teknologi agromakanan negara, inisiatif pembangunan usahawan pasca pendemik, inovasi teknologi baharu untuk kelestarian industri agromakanan dan perkongsian kejayaan usahawan. Persidangan ini juga turut disertai oleh 49 pembentang poster yang akan sama-sama berkongsi idea dan hasil dapatan daripada kajian yang dijalankan dengan penyertaan seramai 200 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi pertanian di Malaysia, usahawan-usahawan, para penjana teknologi dan pelajar-pelajar.
 
Menurut Dato’ Haslina, Penggunaan teknologi merupakan kunci kejayaan sektor agromakanan, tanpa proses pemindahan teknologi, sesuatu penemuan teknologi dan inovasi tidak akan bermakna. Dalam rantaian pemindahan teknologi, terdapat tiga kumpulan iaitu, penjana teknologi, pegawai pengembangan dan penerima teknologi.
 
Tambahnya lagi, peranan proaktif daripada agensi dan pegawai pengembangan sebagai penghubung terus kepada golongan petani dan usahawan adalah sangat penting. Peranan efektif mereka akan dapat mengurangkan jurang perbezaan teknologi antara penjana dengan pengguna teknologi.
 
Dato’ Haslina turut menyatakan mengenai peranan media yang juga merupakan satu komponen yang sangat penting dalam aktiviti pemindahan teknologi. Peranan agen pengembangan dalam pemindahan teknologi adalah terhad dan tidak meluas. Tidak dapat dinafikan bahawa media akan memudahkan dan mempercepatkan lagi proses pemindahan teknologi. Selain daripada media tradisi seperti media cetak dan elektronik, media sosial juga harus dimanfaatkan sepenuhnya, khususnya di zaman semua maklumat boleh diperolehi di hujung jari.
 
Objektif utama persidangan ini mengenal pasti isu dan permasalahan utama dalam aspek pemindahan teknologi di sektor agromakanan, menawar dan meningkatkan penggunaan teknologi dan hasil inovasi penyelidikan yang terkini kepada agen pengembangan dan golongan sasar dan menjalinkan kerjasama serta perkongsian idea antara semua pihak yang terlibat dalam memastikan isu-isu semasa berkaitan ini dapat diselesaikan dengan lebih efisien
 
Bersempena dengan majlis itu juga, MARDI turut melancarkan buku Evolusi Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi Makanan Dalam Memacu Keunggulan Industri Makanan” . Buku yang diterbitkan khas ini menceritakan sejarah perkembangan dan sumbangan Pusat Teknologi Makanan terhadap bidang teknologi makanan di Malaysia dalam beberapa fasa sejak penubuhannya sehingga kini. Melalui penghasilan buku ini, ianya diharap akan menjadi satu wadah sebaran am bagi memenuhi keperluan penyebaran maklumat, bukan sahaja kepada kakitangan atau institusi, malah kepada masyarakat umum. Peranan dan strategi FT melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan akan terus berdaya maju kepada industri makanan serta memberi kesan untuk negara pada masa hadapan terutama sekali dalam menghadkan import produk makanan luar serta terus membangunkan industri makanan di Malaysia.
 
Sempena dengan majlis itu, MARDI turut mengadakan sesi Pertukaran Memorandum Perjanjian (MOA) bersama enam Syarikat menerusi perjanjian bagi menjalankan Pengkomersialan melalui kaedah perlesenan atau penjualan terus dalam pengkomesilan teknologi melalui syarikat berikut:
  1. SMS Ventures Holding Sdn Bhd
  2. Tamara Nanoetech (M) Sdn Bhd
  3. Dinar Biotech Sdn Bhd
  4. Tajria Food Sdn Bhd
  5. Xinn Ventures Sdn Bhd
  6. JW & ZTEX Global Foods PLT
Nilai pengkomersialan yang diterima tidak termasuk royalti  adalah berjumlah RM 536,000.00.
 
Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Dr. Mohamad Zabawi bin Abdul Ghani, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI); YBhg. Dato’ Zahimi bin Hassan, Ketua Pengarah Pertanian Malaysia; YBrs. Pn. Hjh. Faizatul Akmar binti Dato; Hisan, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) dan YBrs. En. Daud bin Endam, Pengarah Pusat Pemindahan Teknologi dan Pembangunan Usahawan MARDI.

 

TAMAT

Pengarang

  • Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia

  • Pusat Komunikasi Korporat
    Ibu Pejabat MARDI
    Persiaran MARDI-UPM
    43400 Serdang
    Selangor

  • 03-8953 7201

  • 03-8953 7220

  • Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

  • https://www.mardi.gov.my

Media Sosial MARDI

Berita Berkaitan