Langkawi, Kedah - 8 Disember 2024 – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) hari ini mengumumkan pengisytiharan Varieti Baharu Cili MARDI yang merupakan satu langkah penting dalam usaha meningkatkan pengeluaran cili domestik dan mengurangkan kebergantungan kepada import cili. Majlis pengisytiharan ini berlangsung di Taman Agro Teknologi MARDI Langkawi, Kedah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Datuk Seri Isham Bin Ishak, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Varieti cili baharu yang diberi nama Cili MARDI ini merupakan hasil daripada program pembaikbakaan yang dijalankan oleh MARDI dengan menggunakan teknologi moden dan penyelidikan intensif. Cili ini adalah hasil kacukan antara dua genotip terpilih, iaitu Ch 234-14 (MC 11) dan Ch 231-5, yang telah terbukti rintang terhadap penyakit antraknos. Keunggulan utama varieti ini adalah ketahanannya terhadap penyakit serta hasil yang tinggi, dengan potensi pengeluaran sekitar 20
hingga 30 metrik tan sehektar dalam tempoh 5 hingga 6 bulan.
Cili MARDI dihasilkan dengan matlamat untuk mengatasi cabaran utama dalam pengeluaran cili di Malaysia, termasuk kebergantungan yang tinggi terhadap benih import, terutama dari negara jiran seperti Thailand, China, dan Vietnam. Melalui penghasilan benih cili tempatan yang lebih berkualiti dan tahan penyakit, MARDI berharap dapat mengurangkan kos pengeluaran dan meningkatkan keuntungan bagi para petani.
Yang Berbahagia Datuk Seri Isham Bin Ishak dalam ucapannya berkata, "Varieti baharu cili ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dalam memajukan sektor pertanian negara. Selain daripada memperkenalkan varieti yang lebih tahan terhadap penyakit, kami juga memberi tumpuan kepada latihan dan sokongan kepada petani bagi memastikan mereka dapat menguasai teknik penanaman yang lebih cekap dan mampan"
MARDI juga akan terus memberikan khidmat sokongan teknikal dan latihan kepada para petani dalam memastikan mereka dapat menanam Cili MARDI dengan efektif. Program ini turut melibatkan kerjasama dengan Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Langkawi dan Negeri Kedah dimana PPK membantu dalam penyediaan infrastruktur serta kawasan penanaman bagi memastikan penghasilan cili yang berkualiti tinggi.
Dengan pengenalan varieti baharu ini, diharap dapat meningkatkan produktiviti dan kualiti cili domestik, mengurangkan kebergantungan kepada import, serta memberikan impak positif terhadap ekonomi negara. Usaha ini sejajar dengan Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0) yang bertujuan untuk memastikan kestabilan dan keterjaminan bekalan makanan negara.
Majlis turut dihadiri oleh Yang Berhormat Tuan Haji Dzowahir Bin Haji Ab. Ghani, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan, dan Pengangkutan Negeri Kedah; Yang Berusaha Dr. Azman Bin Ismail, Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI; dan Yang Berbahagia Dato’ Dr. Haji Mohamad Zabawi Bin Abdul Ghani, Ketua Pengarah MARDI.
TAMAT
Pengarang
-
Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia
-
Pusat Komunikasi Korporat
Ibu Pejabat MARDI
Persiaran MARDI-UPM
43400 Serdang
Selangor -
03-8953 7201
-
03-8953 7220
-
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. -
https://www.mardi.gov.my