KUALA KANGSAR, 28 Disember 2024 – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan sukacitanya mengumumkan penjenamaan semula varieti durian MDUR88 kepada MARDI Super (MS88). Penjenamaan semula ini dilancarkan sempena lawatan kerja Yang Berhormat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, ke Duriotourism MARDI Kuala Kangsar. Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperkenalkan durian premium Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi dan membuka peluang komersial yang lebih luas, bukan sahaja untuk pasaran domestik tetapi juga pasaran global.
Varieti MARDI Super (MS88) adalah hasil penyelidikan dan inovasi oleh MARDI yang bertujuan untuk memperkenalkan durian premium dengan ciri-ciri terbaik kepada dunia. Durian ini bukan sahaja dikenali kerana rasa yang manis dan tekstur berkrim, tetapi juga kerana tahap ketahanan terhadap penyakit yang setanding dengan varieti premium lain. Penjenamaan semula MDUR88 kepada MARDI Super (MS88) adalah satu langkah strategik untuk memperkasakan industri durian tempatan. Melalui penjenamaan ini, MARDI Super (MS88) diharapkan dapat menjadi pilihan utama di kalangan penggemar durian di seluruh dunia. Pengkomersialan varieti ini juga memberi peluang kepada petani tempatan untuk menikmati manfaat ekonomi yang lebih besar melalui peningkatan hasil dan pengeluaran durian berkualiti tinggi.
Ciri-Ciri Unggul MARDI Super (MS88):
- Rasa yang Lemak Manis: Isi durian MARDI Super (MS88) kaya dengan rasa lemak manis dan berkrim yang menjadi kegemaran majoriti peminat durian..
- Isi Tebal dan Berkrim: MARDI Super (MS88) memiliki isi yang tebal dan padar, memberikan kepuasan dalam setiap ulas. Ketebalan isinya memastikan setiap biji menawarkan lebih banyak durian untuk dinikmati, menjadikannya pilihan utama bagi peminat durian yang menghargai kualiti dan keistimewaan rasa.Ketahanan Selepas Tuai: Durian MARDI Super (MS88) memiliki buah yang lambat merekah, membolehkan penyimpanan lebih lama tanpa menjejaskan kualiti isi. Ciri ini memberi kelebihan dalam pengangkutan dan pemasaran untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
- Tahan terhadap Penyakit: MARDI Super (MS88) dihasilkan melalui teknik penghibridan dan pemilihan yang teliti, mempunyai tahap ketahanan terhadap penyakit yang setanding dengan vareiti premium lain. Ciri ini memastikan kestabilan pengeluaran dan memenuhi perminataan pasaran yang semakin meningkat.
- Warna Isi yang Menarik dan Tahan Lama: MARDI Super (MS88) memiliki isi berwarna menarik yang kekal segar dan tahan lama selepas diproses. Ciri ini bukan sahaja menambah daya tarikan dan membangkitkan selera untuk dinikmati secara segar, tetapi juga sesuai untuk diproses menjadi pelbagai produk makanan, menambah nilai kepada durian ini dalam industri pemprosesan.
- Sumber Ekonomi Berkualiti: Melalui pengkomersialan MARDI Super (MS88), petani tempatan dijangka memperoleh pendapatan yang lebih tinggi melalui pengeluaran durian berkualiti premium, sekali gus menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.
Dengan penjenamaan semula MARDI Super (MS88), durian ini bukan sahaja diiktiraf sebagai salah satu durian terbaik Malaysia, tetapi juga berpotensi untuk memasuki pasaran global dengan lebih agresif. Permintaan terhadap durian premium di negara-negara seperti China, Singapura, Eropah, dan Amerika Utara semakin meningkat, dan MARDI Super (MS88) bersedia untuk memenuhi permintaan ini dengan menawarkan kualiti yang tiada tandingan.
YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu berkata, “Penjenamaan semula kepada MARDI Super (MS88) adalah satu usaha yang tepat dalam memartabatkan industri durian Malaysia. Dengan pengkomersialan varieti durian ini, kita bukan sahaja akan meningkatkan pendapatan petani tempatan, tetapi juga memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam industri durian di peringkat antarabangsa. Pada Majlis yang turut di hadiri oleh YBrs Dr Azman bin Ismail, Pengerusi MARDI dan YBhg Dato’ Dr Haji Mohamad Zabawi bin Abdul Ghani, Ketua Pengarah MARDI ini, YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu juga dibawa melawat ke Duriotourism MARDI Kuala Kangsar dimana YB Datuk Seri dapat merasai sendiri kenikmatan durian hasil penyelidikan MARDI. Ini merupakan lawatan kerja yang pertama beliau ke Duriotourism MARDI Kuala Kangsar ini.
Sebagai salah sebuah Taman Agropelancongan MARDI, Duriotourism MARDI Kuala Kangsar ini mengetengahkan lima konsep utama Taman Agroteknologi iaitu Teknologi, Inovasi, Pemuliharaan, Pendidikan dan Rekreasi (TICER). Salah satu objektif utama Duriotourism adalah untuk memperkenalkan teknologi durian MARDI kepada pengunjung, dengan memberikan pengalaman langsung tentang cara penanaman durian yang maju dan pelbagai teknik pertanian terkini yang digunakan dalam industri durian Malaysia.
Pakej Duriotourism yang dijalankan mengikut musim durian memberi peluang kepada pengunjung untuk membuat lawatan ke ladang durian sebenar. Pengunjung akan dibawa menaiki tram melawat plot tanaman durian yang diiringi oleh jurupandu berpengalaman dalam penanaman dan varieti durian. Pengunjung juga berpeluang menikmati buah durian segar terus dari ladang menjadikan lawatan ke Duriotourism MARDI Kuala Kangsar adalah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Duriotourism MARDI Kuala Kangsar melalui Facebook Rasmi MARDI Kuala Kangsar.
TAMAT
Pengarang
-
Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia
-
Pusat Komunikasi Korporat
Ibu Pejabat MARDI
Persiaran MARDI-UPM
43400 Serdang
Selangor -
03-8953 7201
-
03-8953 7220
-
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. -
https://www.mardi.gov.my