Skip to main content

Soalan
Lazim

Hubungi
Kami

Maklum Balas
& Aduan

Peta
Laman

SUNGAI BESAR, 15 Julai 2022 – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) terus menghasilkan baka/varieti baharu tanaman yang terbaik. Pada majlis hari ini, satu varieti baharu padi spesialti telah diisytiharkan oleh YB Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di Plot Petani Parit 1 Timur, Sungai Besar, Selangor hari ini.  

MARDI memperkenalkan satu varieti padi spesialti baharu MRQ 103 iaitu ‘MARIA’ singkatan bagi MARDIRiceAroma. Varieti ini dihasilkan melalui kacukan di antara MRQ 89 dan MRQ 50. Ini juga sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap beras wangi yang berkualiti dan mempunyai nilai kesihatan.  

Ciri-ciri menarik varieti ini termasuklah matang sekitar 117 – 120 hari selepas tanam, pokok yang rendah sekitar 105 cm dan prestasi hasil sehingga 5.8 tan/ha. Varieti ini tergolong dalam kategori beras yang panjang dan tirus, beraroma serta kandungan amilosa yang sederhana. Tekstur nasi adalah seroi, tidak melekit dan mempunyai kandungan indeks glisemik (GI) yang rendah dan sangat sesuai untuk pesakit diabetis. Varieti ini juga sederhana rintang terhadap penyakit karah dan benah perang, namun begitu, sederhana rentan kepada penyakit hawar daun bakteria, hawar seludang dan penyakit merah virus (tungro).

Dr Ronald berkata pengisytiharan varieti padi spesialti baharu MRQ 103 atau ‘MARIA’ ini diharap dapat memberi manfaat kepada rakyat Malaysia terutamanya para petani dan pengguna beras spesialti tempatan sekaligus memperkukuhkan industri padi dan beras spesialti negara.  

Dalam majlis ini juga, turut diadakan majlis menandatangani dokumen pelesenan eksklusif di antara MARDI dan Syarikat Padi Pukal Parit 7 (Sekincan) Sdn. Bhd. Kerjasama pintar (smart partnership) MARDI dengan pihak swasta ini, bagi membolehkan padi spesialti ini dapat diperluaskan pengeluarannya secara komersial dengan skala lebih besar.

Sejak penubuhan MARDI pada 1969, MARDI telah berjaya menghasilkan 53 varieti padi yang terdiri daripada 40 varieti padi biasa, 12 varieti padi spesialti dan satu varieti padi hibrid. Setiap varieti yang dibangunkan adalah untuk mendapatkan hasil yang lebih tinggi, menyelesaikan masalah semasa seperti penyakit dan perosak di samping memenuhi citarasa rakyat Malaysia.

Turut hadir, YBhg. Dato’ Dr. Mohamad Zabawi bin Abdul Ghani, Ketua Pengarah MARDI, Barisan Pengurusan Kanan MARDI dan Jabatan Pertanian (DOA), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Pengarang

  • Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia

  • Pusat Komunikasi Korporat
    Ibu Pejabat MARDI
    Persiaran MARDI-UPM
    43400 Serdang
    Selangor

  • 03-8953 7201

  • 03-8953 7220

  • Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

  • https://www.mardi.gov.my

Media Sosial MARDI

Berita Berkaitan