Skip to main content

Soalan
Lazim

Hubungi
Kami

Maklum Balas
& Aduan

Peta
Laman

Pengurusan R&D

Info

Pengurusan R&D

MARDI sebagai sebuah Institut yang dimandatkan untuk membangunkan teknologi dalam sektor pertanian dan makanan sentiasa mengambil pendekatan menguruskan R&D (Research & Development) secara sistematik dan bermatlamat melalui;
           

  1. Perancangan Strategik
    • Cadangan projek-projek R&D di MARDI akan dinilai di peringkat pengurusan bagi memastikan hala tuju projek bertepatan dengan Dasar Agromakanan Negara serta Rancangan Strategik Korporat MARDI.

  2. Pengurusan Penyelidikan
    • Pelaksanaan projek di lapangan akan dipantau secara berterusan bagi memastikan kamajuan R&D bergerak selari dengan perancangan, memenuhi objektif serta mempunyai dapatan yang tepat.

  3. Pengurusan Inovasi & Kualiti
    • Teknologi yang dihasilkan serta pengetahuan signifikan yang diperoleh akan dinilai di peringkat pengurusan untuk validasi ketersediaan teknologi dan pengetahuan.
    • Kualiti dan keberkesanan prosedur kerja bagi jaminan kualiti di MARDI ditingkatkan melalui pensijilan ISO 9001:2015. 

Baca selanjutnya: Pengurusan R&D

  • Last updated on .
  • Hits: 2499

Taman Agroteknologi MARDI (TATM)

TAMAN AGROTEKNOLOGI MARDI

TAMAN AGROTEKNOLOGI MARDI

  • Taman Agroteknologi MARDI Langkawi

    LATAR BELAKANG

    1. Taman Agroteknologi MARDI Langkawi terletak di Hutan Tropika Kaki Gunung Raya. Mula dibangunkan sebagai stesen hortikultur pada tahun 1983 dan Pelancaran Stesen MARDI Langkawi sebagai Langkawi Agropark pada tahun 1995 dan penjenamaan semula sebagai Taman Agroteknologi MARDI Langkawi (TATML) pada tahun 2005, telah meletakkan halatuju TATML yang jelas sebagai sebuah destinasi agropelancongan.
    2. Sejak dari tahun tersebut TATML telah melalui beberapa fasa pembangunan sebelum muncul sebagai destinasi agropelancongan yang berkonsepkan Taman Agroteknologi (TAT) yang digagaskan oleh MARDI pada tahun 2015 dapat disimpulkan dalam akronim TICER yang mengabungkan lima teras utama iaitu Technology & Innovation, Conservation, Education and Recreation.

    TARIKAN UTAMA

    1. TATML mempamerkan dan memulihara teknologi dan inovasi pertanian secara terus di ladang melalui laman inovasi pertanian bandar, taman anggur, taman herba, petting zoo (rusa, kambing, ikan keli), taman rekreasi dan pusat jualan yang dibangunkan secara inovatif menjadikannya sebagai The Living Classroom di mana pelancong dapat melihat, belajar dan memperolehi maklumat teknologi dan inovasi pertanian terkini secara nyata di lapangan. Konsep ini telah mewujudkan suatu kelainan dimana produk agropelancongan tersebut mempunyai competitive advantage berbanding dengan destinasi agro pelancongan yang lain. Selain itu terdapat juga pokok hutan di persekitaran terkawal dan hutan tropika semula jadi yang belum di teroka.
    2. Keseluruhan taman berkonsepkan Taman Buahan Tropika, terdapat lebih daripada 20 jenis buah buahan bermusim dan tidak bermusim di tanam di sini.
    3. Terdapat juga penanaman sayur sayuran di dalam persekitaran terkawal dan hutan tropika semula jadi yang belum di teroka.

    PENCAPAIAN

    1. TATML juga menjadi tumpuan kepada pemimpin kenamaan negara dan pernah menerima kunjungan daripada bekas Dato' Seri Mukriz Mahatdir, bekas Menteri Besar Kedah, isteri-isteri Ketua-ketua Negara Dunia ke-3 serta Tun Dr. Mahathir Mohamad.
    2. TATML juga telah mejadi lokasi penggambaran Rancangan TV Korea (KBS), CNN TV Crew, RTM-Agrojurnal dan lain-lain.
    3. TATML menjadi tumpuan kepada pelancong dalam dan luar negara terutamanya pada musim cuti sekolah dengan purata pengunjung adalah melebihi 100,000 orang setahun.

    Selanjutnya

  • Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands

    LATAR BELAKANG

    1. TATMCH telah dirasmikan oleh Almarhum KDYMM Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Mu'adzam Shah pada 14 Jun 2003.
    2. Keluasan kawasan TATMCH adalah 42 ha merangkumi bangunan pusat penyelidikan, pusat informasi dan Taman Agro Teknologi MARDI.
    3. Pusat perhentian setempat untuk pelancongan tanah tinggi yang berada pada ketinggian 1,400m dari aras laut, bersuhu nyaman sepanjang tahun (14-24˚C).
    4. Merupakan Pusat Kecemerlangan Pertanian Hijau yang berteraskan agropelancongan, menyediakan dan mengekalkan suasana indah dan menarik, kemudahan rekreasi, wadah pembangunan, penggunaan dan pemindahan teknologi serta memberi pengetahuan dan menyediakan tempat pembelajaran.

    TARIKAN UTAMA

    1. Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands mempunyai taman mini yang menghimpunkan lebih 50 jenis bunga-bungaan temperat dan tropika dengan gabungan tanaman semusim, dwi-musim dan perenial dan taman dibahagikan mengikut bahagian seperti Taman Inggeris, Laman Herba, Taman Mini Cameron, Bunga Orkid, Taman Periuk Kera, Taman Ros dan Tanaman Tulip. Tanaman tulip di Mardi Cameron Highlands merupakan varieti yang diimport daripada Holland. Penyelidik di stesen ini kemudiannya berjaya menghasilkan pembenihan tulip di dalam makmal dan ditanam di Taman Mini Cameron sekitar bulan Februari dan Mac. Selain itu juga, terdapat ladang strawberi, plot tanaman sayuran komersil, fertigasi, plot epal, plot anggur, plot buah tin serta tanaman temperat lain.
    2. Taman ini juga mempunyai Ladang Teh tertua di Malaysia dimana pokok teh ditanam sejak tahun 1927 serta Kilang Teh pertama di Malaysia yang telah dibina pada tahun 1935.

    PENCAPAIAN

    1. Pada 5 November 2008, telah diiktiraf sebagai tapak perasmian ZOOM! (Cuti-cuti Malaysia) di Cameron Highlands.
    2. Stesen telah menerima anugerah Johan, pada Hari Landskap Negara 2003, Kategori Taman Pertanian/ Hutan Lipur, Johan Landskap antara Daerah Cameron Highlands 2004 sempena bulan kemerdekaan ke 47. Selain itu, TATMCH pernah mendapat anugerah Stesen Terbaik (2008), Johan Landskap Idaman kategori Pejabat Kerajaan, anjuran Jabatan Landskap Negara (2007), Naib Johan Pertandingan Landskap Kebangsaan (2005), kategori Taman Pertanian/ Hutan Lipur dan Anugerah stesen terbaik MARDI (2019).
    3. Pada 10 MAc 2018, KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan mencemar duli di Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands.
    4. TATMCH telah berjaya menarik pengunjung dari dalam dan luar negara (Filipina, Jepun, Indonesia, Thailand dan lain-lain) hampir setiap tahun dengan kapsiti pengunjung melebihi 100,000 orang setahun.

    Selanjutnya

  • Taman Duriotourism MARDI Kuala Kangsar

    LATAR BELAKANG

    1. Durio Tourism @ MARDI Kuala Kangsar asalnya adalah padang ragut Jabatan Pekhidmatan Haiwan berkeluasan 39.52 hektar telah dirasmikan pembukaannya oleh YBhg. Datuk Seri Dr. Ismail bin Hj. Bakar Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada 9 Disember 2017.
    2. Merupakan sebuah pusat pelancongan yang berasaskan durian dan buah-buahan tropika serta bertemakan Dusun Village.
    3. Terdapat lebih dari 20 jenis durian klon dan kampung yang mana pelancong boleh menikmati kelainan rasa durian.
    4. Duriotourism terletak hanya 3 kilometer dari plaza tol Kuala Kangsar dan berada dalam Kampung Talang Hulu Kuala Kangsar Perak.

    TARIKAN UTAMA

    1. Pakej yang ditawarkan adalah lawatan ladang menaiki tram, penerangan semasa lawatan, lawatan plot buah-buahan, laman ternakan, kolam ikan, laman herba, laman kelulut dan menikmati buah-buahan di dalam dusun. Selain dari itu pengunjung juga akan didedahkan dengan kepelbagaian klon durian, rambutan, mengetahui perbezaan manggis dan mesta, memetik dan membalut limau bali dan memberi makan biri-biri dorper, memberi makan pada ikan dan memancing ikan.
    2. Antara varieti klon yang popular yang popular yang ada di DT@MKK adalah durian MDUR78, MDUR79 dan MDUR 88 (1992) dan Melomas (1998).

    PENCAPAIAN

    1. Semenjak pembukaan DT@MKK taman ini telah dikunjungi dan dilawati para VIP, ketua-ketua jabatan Perak,wartawan-wartawan, peminat-peminat durian dari dalam dan luar negara diantaranya lawatan Ahli Palimen Kuala Kangsar, KSU-KSU MOA, Exco- Exco Pertanian Perak, wartawan dari Kosmo, Sinar, Bernama, delegasi dari China, Pelancong dari Iran dan Australia dengan jumlah pengunjung melebihi 10,000 orang
    2. DT@MKK telah disenaraikan di dalam kelendar 2023 Durian Tourism Packages melalui Tourism Malaysia yang telah dipromosikan di China, Taiwan dan Hong Kong.

    Selanjutnya

  • Taman Agroteknologi MARDI Cherating

    LATAR BELAKANG

    1. MARDI Cherating ditubuhkan pada 1961 oleh Jabatan Pertanian (diambil alih oleh MARDI pada 1971) dulunya dikenali sebagai Stesen Penyelidikan Tanah Bris.
    2. Keluasan kawasan Stesen MARDI Cherating adalah 166.75 ha meliputi 11.58 hektar untuk TATMC.
    3. Taman Agro Teknologi MARDI Cherating (TATMC) dirasmikan oleh Y.H Dato' Dr. Hj. Masri Bin Muhamad, Timbalan Ketua Pengarah MARDI pada 23 April 2013 (23 Jamadilakhir 1435H).Bermulanya sejarah pembukaan TATMC adalah pada pelancaran program Mini MAHA yang diadakan pada 26 Ogos 2016.

    TARIKAN UTAMA

    1. Antara tarikan utama terdapat di TATMC adalah Galeri Kelapa yang mempamerkan teknologi berasaskan kelapa iaitu penghasilan dodol berenzim, kelapa telur dan replika mesin membuat cocopeat. Selain itu, terdapat juga laman ternakan yang mempamerkan teknologi integrasi perternakan kambing biri-biri dorper di bawah tanaman kelapa dan koleksi pastura. TATMC juga mempunyai petting zoo bagi ternakan arnab, landak dan burung yang menyediakan aktiviti memberi makan kepada haiwan ternakan serta boleh memegang dan bergambar dengan haiwan tersebut. TATMC juga akan membangunkan tapak glamping yang terletak berdekatan kawasan pantai untuk dijadikan aktiviti beriadah sesuai dengan pantai yang bersih dan landai.

    PENCAPAIAN

    1. Pada tahun 2015, TATMC telah menerima kunjungan Menteri MOA iaitu Datuk Seri Ahmad Shaberry Cheek untuk lawatan sekitar TATMC.
    2. Antara aktiviti berlangsung di TATMC adalah Hari Bertemu Pelanggan MARDI (2014 & 2015), Road To MAHA (2016), Lawatan KSU & TKSU (2017), lawatan oleh Universiti dan sekolah.
    3. Pada masa 5-7 akan datang TATMC akan lebih dikenali sama ada dikalangan pelancong tempatan mahupun pelancong asing dengan kepelbagaian aktiviti yang menarik. Kerjasama dengan agensi pelancongan dan media sedang giat dijalankan dalam merealisasikan TATMC sebagai sebuah destinasi utama dalam kalender pelancongan.

    Selanjutnya

  • Taman Agroteknologi MARDI Bagan Datuk

    LATAR BELAKANG

    1. MARDI Bagan datuk telah ditubuhkan pada 1972 yang dulunya dikenali sebagai Stesen MARDI Hilir Perak dengan fokus utama tanaman koko dan kelapa. Ianya telah menjadi pusat rujukan bagi penyelidik dalam dan luar negara bagi tanaman koko.
    2. Pada 2006, nama MARDI Hilir Perak telah ditukar kepada MARDI Bagan Datuk dengan menfokuskan tanaman kelapa (aktiviti penyelidikan koko telah diserahkan kepada Lembaga Koko Malaysia).
    3. Taman Agro Teknologi MARDI Bagan Datuk (TATMBD) telah dibangunkan bermula tahun 2018 yang berasaskan konsep Cocostourism @ TATMBD dengan pendekatan T.I.C.E.R iaitu Technology (T) & Innovation (I), Conservation (C), Education (E) dan Recreation (R).

    TARIKAN UTAMA

    1. Cocostourism@TATMBD juga telah dimasukkan ke dalam takwim Agropelancongan Daerah Bagan Datuk dengan daya tarikan lebih 82 tanaman kelapa pelbagai varieti terdapat di sini. Di cocostourism@TATMBD pengalaman yang berbeza dapat dialami melalui kluster-kluster yang disediakan seperti (1) Kluster Laman Tiba yang menyediakan galeri taman agro berupa cenderahati, maklumat tanaman kelapa/ brosur dan produk-produk teknologi berasaskan kelapa yang dipamerkan di dalam Pusat Teknologi Info (TIC). (2) Kluster Kelapa Hibrid & Buah-buahan, yang menyediakan demonstrasi pendebungaan berbantu dalam penghasilan kelapa hibrid hasil daripada R&D MARDI, (3) Kluster Kilang Sabut & Jualan Kelapa Hibrid MARDI yang mengetengahkan proses penghasilan cocopeat dan cocofiber dan juga jualan produk-produk berkaitan dan jualan anak benih kelapa hibrid MARDI kepada pengunjung yang berminat. (4) Kluster Test bed Minyak Kelapa Dara (VCO) MARDI Bagan Datuk yang akan memperlihatkan proses penghasilan VCO kepada pengunjung. (5) Kluster Laman Ternakan & Demo kelapa telur yang merupakan sambutan terhangat di cocostourism@TATMBD yang mana pengunjung berpeluang melihat hasil ternakan kambing Barbadous dan bergambar serta memberi makan ternakan tersebut dan demo kelapa telur kepada pengunjung yang turut disajikan kelapa telur tersebut. Rasailah pengalaman unik berada di ladang kelapa sambil menikmati air kelapa telur segar.

    PENCAPAIAN

    1. Cocostourism@TATMBD telah menerima kunjungan daripada jabatan kerajaan dan swasta, pelancong dalam dan luar negara.
    2. Pelbagai aktiviti telah dijalankan di Cocostourism@TATMBD antaranya adalah Majlis Pelancaran Kelapa Hibrid MARDI pada 14 Ogos 2023, Hari Bertemu Pelanggan MARDI Perak dan lain-lain

    Selanjutnya

  • Taman Agroteknologi MARDI Kluang

    LATAR BELAKANG

    1. Taman Agro Teknologi MARDI Kluang (TATMK) mula dibangunkan pada tahun 2018 di sekitar kawasan Tasik MARDI dengan keluasan 50 ha berkonsepkan Cowboy Town di dalam setting kawasan alam semulajadi yang sangat indah.
    2. Stesen MARDI Kluang turut dikenali sebagai COE ternakan. Sehubungan itu, perancangan pembangunan TATMK dilaksanakan berasaskan teknologi dan inovasi ternakan seperti lembu, kambing dan ayam kampung.

    TARIKAN UTAMA

    1. Kedudukan TATMK amat strategik dan sesuai dikunjungi pelancong memandangkan jaraknya yang hanya 10 kilometer dari bandar Kluang dan 15 kilometer dari Plaza Tol Ayer Hitam.
    2. Selain itu pertandingan memancing kerap diadakan di kawasan tasik TATMK melibatkan pihak syarikat Joran Bagus sebagai penganjur utama dan bilangan perserta yang mencecah sehingga 2,000 orang dalam satu sesi penganjuran (beberapa kali penganjuran dalam setahun). Terdapat banyak permintaan daripada pihak syarikat dan sekolah untuk program seperti kem bina semangat / motivasi memandangkan kawasan TATMK yang luas untuk tujuan perkhemahan dan kemudahan infrastruktur seperti dewan terbuka dan astaka ada disediakan.
    3. TATMK turut menyediakan kemudahan untuk aktiviti rekreasi lain seperti berkuda, melusuri kawasan taman dengan menaiki pedati kuda, berkayak, eksplorasi ATV dan juga berbasikal.

    PENCAPAIAN

    1. TATMK dibangunkan berdasarkan 5 kluster utama iaitu : 1) Laman Tiba; 2) Kluster Ternakan: 3) Kluster Tanaman; 4) Pejabat Operasi; dan juga 5) Kluster Rekreasi. Terdapat pelbagai pihak yang telah berkunjung ke TATMK untuk penggambaran dan promosi seperti Momentum Internet Sdn. Bhd. dan juga venue unik untuk majlis perkahwinan berkonsepkan wedding in the garden.

    Selanjutnya

  • Taman Agroteknologi MARDI Kuala Linggi

    LATAR BELAKANG

    1. Stesen MARDI Kuala Linggi dibuka pada tahun 1985 dengan keluasan 71.9 ha bagi menjalankan penyelidikan di tanah asid sulfat. Kini, MARDI Kuala Linggi menjalankan aktiviti penyelidikan berkaitan dengan minyak pati dan herba-herba terpilih berasaskan tanaman aromatik seperti serai makan, serai wangi, tea-tree, gelam, limau purut, limau kasturi, lemon myrtle dan kayu manis. Pada 16 Jun 2009, inkubator minyak pati dirasmikan oleh Datuk Hajah Rohani Abdul Karim, Timbalan Menteri MOA.

    TARIKAN UTAMA

    1. Inkubator MARDI Kuala Linggi berperanan untuk menghasilkan minyak pati dari herba-herba dan tanaman yang berpotensi untuk menghasilkan minyak pati dari daun yang akan disuling. Selain itu, MARDI Kuala Linggi mempunyai kilang perintis pembuatan produk-produk berasaskan minyak pati seperti losen, gel mandian, syampu dan sabun.

    PENCAPAIAN

    1. Program Inkubator dan Pra-OEM membantu usahawan mengeluarkan produk minyak pati dibangunkan berasaskan teknologi hasilan R&D MARDI.
    2. Selain dari itu, MARDI Kuala Linggi juga memainkan peranan sebagai pusat penyebaran teknologi gunasama MARDI dari aspek pembangungan produk minyak pati kepada usahawan yang berminat untuk menceburi pasaran minyak pati.
    3. MARDI Kuala Linggi telah menerima pengunjung sama ada dari dalam dan juga luar negara antaranya daripada Jepun termasuk liputan media di dalam negara seperti RTM.

    Selanjutnya

  • Taman Agroteknologi MARDI Jeram Pasu

    LATAR BELAKANG

    1. MARDI Jeram Pasu ditubuhkan pada Febuari 1977 bagi penyelidikan tembakau dan terletak di Padang Pak Amat, Pasir Puteh dengan keluasan 48.43 ha. Pada September 1985, stesen ini telah pun menjadi stesen penyelidikan buah-buahan sepenuhnya.
    2. Pada Mac 2019, Taman Agroteknologi MARDI Jeram Pasu (TATMJP) telah diisytiharkan sebagai salah sebuah Taman Agro MARDI berkonsepkan pelancongan ladang dan warisan Negeri Kelantan.

    TARIKAN UTAMA

    1. Antara mercu tanda di TATMJP ialah rumah tradisional kelantan yang juga merupakan tarikan utama di sini. Para pengunjung dapat mempelajari dan melihat sendiri keunikan pada struktur pemeleh, tebar layar dan reka bentuk dinding “janda hias” yang terdapat pada rumah tradisional tersebut. Laman rumah tradisional kelantan ini juga dijadikan kawasan bagi aktiviti pembuatan wau serta permainan bedil buluh yang terbuka buat pengunjung.
    2. Selain itu, TATMJP juga mempunyai pelbagai jenis tanaman bermusim (Durian, Manggis, Dokong, Rambutan), Tanaman kontan (nanas, jagung) dan ternakan kambing boer bagi tujuan pameran dan janaan hasil dana.

    PENCAPAIAN

    1. TATMJP yang juga merupakan stesen sokongan penyelidikan dan memulihara Plant Genetic Resources for Food and Agriculture (PGRFA) melalui bank gen ladang telah mengumpulkan lebih dari 35 Jenis tanaman lepisanthes, spesis buah liar dan nadir.

    Selanjutnya

  • Taman Agroteknologi MARDI Tanjong Karang

    LATAR BELAKANG

    1. Stesen MARDI Tanjong Karang bermula sebagai Pusat Penyelidikan Jabatan Pertanian Persekutuan dan telah diserahkan kepada MARDI pada tahun 1971 bertujuan membangunkan teknolologi untuk kemajuan industri makanan, pertanian dan industri asas tani tempatan.
    2. Pada 27 Mac 2019, pra pembukaan Taman Agro Teknologi MARDI (TATMTK) telah dibuat dan telah mendapat sambutan sangat baik dari pelajar sekolah, masyarakat sekitar dan juga pelancong luar negara.
    3. TATMTK telah dirasmikan pembukaannya pada 30 Julai 2023 oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan (KPKM) iaitu YB Tuan Chan Foong Hin.

    TARIKAN UTAMA

    1. Galeri Inovasi Padi telah dibangunkan sebagai simbolik kepada pengorbanan pesawah menanam padi sebelum diproses menjadi beras.
    2. Antara tarikan TATMTK adalah laman sawah dan aktiviti berasaskan sawah padi seperti serkap ikan, pancing ikan dan mencendung padi. Selain daripada itu, TATMTK turut mempunyai laman kelulut, laman buah-buahan nadir dan menara tinjau di samping menawarkan aktiviti santai seperti bersampan dan juga berbasikal.

    PENCAPAIAN

    1. TATMTK telah menjadi tumpuan pengambaran untuk stesen TV tempatan seperti Ronda-ronda Ramadan, Singgah Santai. Selain itu, stesen ini turut mengadakan jalinan kerjasama dengan pengusaha inap desa di kawasan setempat. Tambahan pula, TATMTK menjadi tempat rujukan untuk Agro pelancongan dari negeri Perak dan sekitarnya.
    2. TATMTK sangat proaktif mempromosikan taman agro kepada agensi pelancongan Singapura dengan penyertaan program B2B yang dikendalikan oleh Tourism Malaysia dan Singapura.
    3. TATMTK telah menerima kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara seperti Jepun, German, Laos, Filipina, dan lain-lain. Manakala jumlah pengunjung yang pernah hadir direkodkan melebihi 13,000 orang.

    Selanjutnya

Baca selanjutnya: Taman Agroteknologi MARDI (TATM)

  • Last updated on .
  • Hits: 27715