Teknologi MARDI
Page 1 of 9
-
1. Teknologi Pengurusan Sisa Landskap Berskala Besar Melalui Kaedah Pengomposan
Teknologi pengurusan sisa landskap berskala besar melalui kaedah pengomposan merupakan kaedah penghasilan kompos berkualiti tinggi dan mengurangkan masalah bau dalam persekitaran. Kaedah ini dapat menambakbaik teknik pelupusan sedia ada serta menggunakan semula kompos yang telah dihasilkan untuk tujuan penanaman. Campuran sisa landskap dan ternakan memberikan sumber nitrogen penting bagi menghasilkan kompos stabil yang mempunyai nisbah C/N 10:1 ke 15:1. Kaedah ini merupakan satu pengurusan sisa landskap yang lebih efisien dan sistematik untuk masa hadapan bagi kawasan yang mempunyai sisa landskap pada skala besar secara lestari kepada golongan sasar terdiri daripada Majlis Perbandaran dan Kerajaan Tempatan
-
2. Teknologi pirolisis bagi penghasilan biochar dan cuka kayu dari sisa pertanian
Teknologi pirolisis bagi penghasilan biochar dan cuka kayu daripada sisa pertanian merupakan kaedah efektif pengurusan sisa pertanian melalui teknik pirolisis yang menghasilkan biochar dan cuka kayu. Cuka kayu yang dihasilkan bersifat asid yang bermanfaat sebagai penghalau serangga pada tanaman selain berkesan sebagai biofungisid. Hasil kajian menunjukkan cuka kayu memberi kesan efektif dalam mengawal penyakit bawaan kulat antraknos pada tanaman cili. Justeru, pemindahan teknologi ini kepada golongan sasar seperti petani, pekebun kecil, agensi perbandaran dan kerajaan tempatan bagi memastikan sisa pertanian dapat diuruskan dengan efektif dan diproses semula menjadi bahan berguna untuk pertanian. Ianya kerana, kaedah pembakaran secara pirolisis daripada teknologi ini mempunyai potensi besar dalam pemprosesan semula sisa tersebut.
-
3. Teknologi Mitigasi Pembebasan Gas Rumah Kaca (GHG) bagi Tanaman Padi Melalui Aplikasi Mikrob Pengurai Jerami
Teknologi penguraian jerami padi dibangunkan dengan menggunakan mikroorganisma spesies fungi jenis Trichoderma bagi mitigasi pembebasan gas metana (CH4) semasa musim penanaman padi. Pencilan Trichoderma 1614 mampu mengompos jerami padi, menghasilkan kompos dengan nisbah C/N lebih baik dan pH yang tinggi. Penggunaan empty or partially filled grain (EPFG) atau padi hampa sebagai substrat dan sumber karbon mampu menjadi pengangkut (carrier) dalam jangka masa panjang. Ianya mudah diperolehi pada kuantiti yang banyak sekaligus mengurangkan kebergantungan penggunaan substrat diimport. Analisa faedah cost to benefit ratio (BCR) menunjukkan melebihi nilai 1 serta sesuai dilaksanakan di lapangan. Teknologi ini berpotensi digunapakai oleh petani bagi mengurangkan impak pembebasan gas rumah kaca (GHG) iaitu metana antara 8.5% sehingga 34% seterusnya dapat memenuhi aspek kelestarian alam sekitar daripada sektor pertanian khususnya tanaman padi.
-
4. Teknologi Adaptasi Perubahan Cuaca Bagi Tanaman Padi Melalui Kaedah Pengurusan Air
Penanaman padi secara bertakung mewujudkan keadaan anaerobik di dalam tanah yang menyebabkan bakteria metanogenik membebaskan gas rumah kaca (GHG) metana yang tinggi. Pengairan berselang (intermittent irrigation) adalah berkesan sebagai strategi adaptasi perubahan iklim penanaman padi. Teknologi pengurusan air secara tepu dan lembap yang dibangunkan adalah modifikasi kawalan air Alternate Wetting and Drying (AWD) dan System of Rice Intensification (SRI). Paras air dibiarkan turun dari keadaan tepu sehingga 15 cm di bawah tanah (atau potensi air -20 kPa) sebelum air dimasukkan semula. Teknologi ini menjimatkan sehingga 35% air, mengurangkan pembebasan 30-55% gas metana serta mengekalkan hasil padi tinggi sekitar 6.0-7.0 t/ha.
-
5. Teknologi Pengendalian Lepastuai Ubi Keladi, Colocasia esculenta
Teknologi pengendalian lepastuai keladi dibangunkan berdasarkan kajian ke atas ubi keladi mawar, ubi keladi wangi dan ubi keladi putih. Teknologi ini boleh memanjangkan hayat simpanan dan mengekalkan kualiti ubi keladi segar berbanding kaedah konvensional. Teknologi ini penting sebagai rujukan pihak berkepentingan seperti petani, pengedar, pembungkus, pengimport, pengeksport, pemproses, pelajar dan pembuat dasar. Teknologi ini mengambilkira penuaian pada waktu yang tepat bagi memastikan kualiti yang premium, bernutrisi tinggi dan mempunyai rasa optimum. Diikuti oleh rawatan curing yang membantu mengekalkan kualiti (memulihkan kecederaan mekanikal pada kulit, mengurangkan insiden isi bergabus, mengekalkan kesegaran pseudostem, melambatkan pertumbuhan fungus) dan memanjangkan hayat simpanan. Teknologi ini merangkumi kombinasi sanitasi dengan klorin 100 ppm, curing (2 - 3 hari pada 250C, RH 85 – 95%), dibungkus dengan beg polistirena (PP 0.08mm), dan disimpan pada suhu 8 - 100C yang dapat mengekalkan kesegaran sehingga 5 minggu. Pemindahan teknologi ini telah disebarkan kepada pengeluar keladi seluruh Malaysia dan pegawai pengembangan melalui kursus kepada pihak industri.
-
6. Teknologi Pengeluaran Tanaman Keladi Berskala Perintis
Teknologi Pengeluaran Tanaman Keladi Berskala Perintis merangkumi rantaian nilai keladi aspek pencirian morfologi, hubungan genetik, nutrisi, agronomi, perosak dan penyakit, pembangunan kultur tisu serta analisis ekonomi dan pasaran. Pengelasan keladi adalah berdasarkan teknologi barkod DNA sekaligus menyumbang kepada perhubungan genetik kultivar keladi yang terdapat di Malaysia. Selain itu, maklumat pengurusan perosak dan penyakit dapat memberi panduan kepada petani dalam mengenal pasti perosak dan penyakit seterusnya dapat melakukan pencegahan serta kawalan yang sewajarnya. Teknik pembiakan secara kultur tisu berupaya menghasilkan anak pokok berkualiti dalam kuantiti yang banyak untuk penanaman berskala besar juga diperolehi dalam teknologi ini. Kajian mengenai pasaran serta persepsi pengguna terhadap penerimaan ubi keladi turut dijalankan dan menunjukkan keladi tersebut mempunyai potensi dan berdaya maju untuk ditanam oleh petani. Teknologi ini dapat dijadikan sebagai rujukan petani dan pengusaha yang berminat untuk menanam keladi sebagai sumber pendapatan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada sayuran import.
-
7. Pakej Lengkap Penanaman Kuini
Teknologi pengeluaran kuini ini merupakan pakej teknologi lengkap yang merangkumi pengesyoran aksesi, kaedah pembiakan, amalan ladang, pembajaan, pengairan, kawalan penyakit dan perosak dan melengkapkan rangkaian bekalan bahan mentah untuk mengkomersilkan kuini sama ada sebagai produk makan segar ataupun dengan penghasilan produk hiliran seperti minuman berfungsi dan minuman berfermentasi.Kuini (Mangifera odorata) merupakan salah satu spesies mangga hutan dalam famili Anacardiaceae. Kuini kaya dengan nutrien baik untuk kesihatan serta mempunyai ciri-ciri prebiotik kerana kandungan serat yang tinggi. Terdapat lima aksesi elit diidentifikasi iaitu Aksesi 103 (Kijal, Terengganu), Aksesi 102 (Simpang Renggam, Johor), Aksesi 035 (Melaka Pindah, Melaka), Aksesi 082 (Hulu Langat, Selangor) dan Aksesi 101 (Changloon Kedah). Aksesi elit ini dipilih berdasarkan prestasi pertumbuhan, ciri morfo-agronomik, ciri kualitatif, hasil dan kualiti buah yang baik serta tinjauan penerimaan orang awam.
-
8. Pakej Penternakan Lebah Kelulut, Heterotrigona itama
Pakej Penternakan Lebah Kelulut, Heterotrigona itama telah dibangunkan di MARDI merangkumi Penternakan Lebah Kelulut (RMK 10), Penternakan Lebah Kelulut secara Lestari (RMK 11), Pemeliharaan Ratu Lebah Kelulut (RMK 12) dan Penghasilan Koloni Elit Heterotrigona itama (RMK 12). Pakej teknologi ini merangkumi teknologi lengkap bagi memindahkan koloni liar daripada dalam batang pokok ke dalam kotak kayu (hive), kaedah penggandaan koloni, pemeliharaan ratu dan penghasilan koloni elit bagi H. itama. Semua pakej ini dibangunkan bagi menghasilkan rantaian agar proses penternakan bagi spesies lebah kelulut tidak terhenti pada peringkat tertentu, lebih lestari dan menjamin kemandirian koloni dan kualiti madu yang dihasilkan. Selain itu, ia juga akan menyokong industri meliponikultur yang semakin berkembang daripada masa ke masa.
-
9. Pemeliharaan Secara Massa Agen Kawalan Biologi Diadegma semiclausum, Cotesia vestalis dan Trichogramma chilonis bagi Pengawalan Serangga Perosak Utama Tanaman
Teknologi ini khusus untuk memelihara secara massa (besar-besaran) tiga jenis parasitoid iaitu Diadegma semiclausum, Cotesia vestalis dan Trichogramma chilonis. Ketiga-tiga serangga bermanfaat ini merupakan musuh semulajadi kepada perosak Lepidoptera yang menyerang tanaman sayuran dan jagung seperti Plutella xylostella, Spodoptera litura dan Spodoptera frugiperda. Pemeliharaan parasitoid peringkat larva iaitu D. semiclausum dan C. vestalis dijalankan menggunakan larva perosak P. xylostella pada anak tanaman kubis di dalam makmal. Manakala pemeliharaan parasitoid telur T. chilonis pula dijalankan menggunakan campuran sekam padi, dedak padi dan beras hancur sebagai makanan utama perumah, Corcyra cephalonica. Penggunaan parasitoid ini sebagai kawalan biologi perosak tanaman adalah salah satu strategi dalam pengurusan perosak tanaman secara lestari.
-
10. Biopestisid Multi Virus Bagi Kawalan Perosak Lepidoptera Sayuran Krusifer
Biopestisida multi virus nuklearpolihedrosis telah dibangunkan pada tahun 2016 dan didapati berkesan bagi mengawal serangga perosak utama kubis iaitu ulat plutella (Plutella xylostella), ulat webworm (Hellula undalis), ulat jantung kubis (Crocidolomia binotalis) dan ulat ratus (Spodoptera litura) pada tanaman kubis organik tanah rendah. Kombinasi aplikasi semburan Emamectin benzoate dan FMNPV telah dapat menurunkan populasi Lepidoptera sebanyak 75% Berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan FMNPV terbukti mampu untuk bersaing sebagai biopestisida yang utama untuk mengatasi masalah perosak pada sayuran krusifer.