Skip to main content

Frequently
Asked Question

Contact
Us

Feedback
& Report

Site
Map

PENYELIDIKAN
PADI & BERAS

Scope Of Research EN

  1. EN Menghasilkan varieti padi hibrid, inbred dan spesialti yang boleh meningkatkan hasil padi dan kualiti beras
  2. Membangunkan sistem pengeluaran efisien yang meningkatkan hasil dan kualiti serta mengurangkan kebergantungan kepada insentif
  3. Membangunkan teknologi pengurusan perosak padi yang berkesan, kos efektif, mesra alam dan lestari
  4. Membangunkan sistem saringan, pengenalpastian penyakit dan perosak baharu
  5. Membangunkan teknologi pengendalian lepas tuai yang efisien dan kos efektif bagi mengurangkan kehilangan hasil dan mengekalkan kualiti hasilan beras

Expertise

Data English

Technology

  • 1. Varieti padi MARDI Siraj 297
    MARDI SIRAJ 297 merupakan baka padi MARDI yang telah diistihar pada 4 Feb 2016 di MARDI Arau, Perlis. Ia dihasilkan melalui kaedah kacuk-ulang antara baka padi wangi MRQ76 dan titisan padi P446 (recurrent parent). Tempoh matangnya ialah sekitar 108-110 hari dan rintang kepada penyakit karah dan penyakit merah virus serta sederhana rintang kepada perosak benah perang. Prestasi hasil terbaik di percubaan penentusahan setempat (LVT) ialah 8.6t/ha di PIDA 5, MADA (musim luar 2015) dan 9.5t/ha di Bongor kudung, Perlis (musim utama 2015/2016) dengan kelebihan hasil sekitar 2-15% berbanding MR263 di kawasan tersebut. Kualiti beras MARDI Siraj 297 adalah panjang dan tirus dengan peratus pengilangan >65% yang sesuai dengan keperluan pengilang tempatan. Peratus kandungan amilosanya adalah sederhana dengan kosistensi gel yang lembut.
  • 2. Varieti padi MARDI Sempadan 303
    MARDI Sempadan 303 adalah varieti terbaharu MARDI yang berpotensi memberikan hasil tinggi dan kurang dipengaruhi oleh faktor persekitaran. Ciri-ciri ini menyebabkan varieti ini sesuai untuk ditanam di kebanyakan kawasan dan boleh disyorkan untuk kawasan kurang subur. Selain itu, MARDI Sempadan 303 memberi cita rasa nasi yang sesuai dan menepati kehendak pengguna tempatan. Terdapat pelbagai ciri menarik bagi varieti padi MARDI Sempadan 303. Potensi hasil varieti ini mampu mencapai sehingga 10 t/ha dan boleh menjana pendapatan yang baik kepada petani. Tambahan lagi, kajian telah menunjukkan bahawa varieti ini mempunyai tahap kerintangan yang tinggi terhadap penyakit karah daun, sederhana rintang kepada penyakit karah tangkai dan serangga perosak seperti benah perang. Justeru, kebergantungan kepada penggunaan racun perosak kimia dapat diminimumkan dan pengurusan tanaman secara lestari dapat dimanfaatkan.
  • 3. Varieti padi MARDI Sebernas 307
    MARDI Sempadan 307 merupakan varieti padi baharu MARDI yang telah diistiharkan pada 12 April 2018 di Sawah Sempadan Selangor. Ia diperkenalkan untuk meningkatkan hasil dan sebagai alternatif kepada varieti padi sedia ada. Ianya berpotensi memberikan hasil tuaian yang yang tinggi sekitar 10 tan per hektar. Selain itu, ia juga sederhana rintang kepada penyakit karah tangkai dan serangga benah perang serta mempunyai mutu beras dan citarasa nasi yang baik. Ia disyorkan untuk ditanam di kebanyakan kawasan jelapang.
  • 4. Varieti padi MR 315
    Varieti MR 315 diperkenalkan untuk mempelbagaikan variasi genetik yang bertujuan memberi lebih pilihan kepada petani serta mengurangkan amalan penanaman varieti tunggal (monocrop) di jelapang. Di samping itu, penanaman multi varieti juga dapat mengurangkan impak masalah kepada industri padi negara sekiranya berlaku serangan merebak sesuatu wabak penyakit. Pembaikbakaan varieti MR 315 mengambil masa selama 18 musim bermula daripada fasa kacukan, pemilihan titisan sehingga titisan padi yang dipilih mencapai keseragaman pertumbuhannya. Aspek kerintangan, kualiti dan ciri morfologi diberi perhatian utama di sepanjang rantaian proses pembaikbakaan varieti ini.
  • 5. Varieti padi MARDI Wangi 88
    Varieti padi wangi 88 mula dibangunkan pada 2003 yang menggunakan induk popular daripada Filipina iaitu IR 841 dan MRQ 74. Varieti ini merupakan pokok yang sederhana tinggi dengan morfologi canopi pokok dan daun pengasuh yang tegak. Potensi hasil ialah di sekitar 4.5 – 50 tan sehektar. Ciri pulangan mengilang disekitar 63% dengan ciri beras yang panjang dan tirus. Skor wangi MARDI WANGI 88 lebih baik berbanding MRQ 74. Ciri utama yang membezakan MARDI WANGI 88 dan MRQ 74 dan MRQ 76 ialah dari segi kandungan amilos yang sederhana yang setara dengan nasi yang sederhana lembut. Ciri ini berbeza berbanding MRQ 74 yang nasi nya peroi dan MRQ 76 yang ciri nasinya lembut dan melekit. Dengan itu, MARDI WANGI 88 ini berada di antara dua kelas yang dinyatakan.
  • 6. Varieti padi MARDI Warna 98
    MARDI Warna 98 (MW 98) ialah padi dengan lapisan bran merah yang kaya dengan antosianin. Penyelidikan dan pembangunan MW 98 telah bermula pada musim 2003/2004 dengan kacukan antara varieti tradisional Hijau Manis dan Jaya Malay. Varieti ini telah diisytihar pada 12 Februari 2018 di Sarawak dan mempunyai potensi hasil 4.5 – 6.7 t/ ha iaitu 18 – 24% lebih tinggi daripada padi warna MARDI yang terdahulu, MRM 16. Keistimewaan MW 98 adalah kandungan antosianin (73.7 mg cyanidin-3-glucosidase/100 g), mineral dan serat makanan (5.6 g/100 g) yang tinggi. Selain itu, MW 98 mempunyai tempoh matang yang pendek (109 – 112 hari) dan boleh ditanam dua kali setahun berbanding dengan induknya yang sensitif terhadap fotokala dan mempunyai tempoh kematangan yang lebih panjang (150 hari). MW 98 juga rintang terhadap karah daun, sederhana rintang terhadap karah tangkai dan penyakit merah virus. Selain itu, MW 98 mempunyai beras yang panjang dan tirus (7.16 mm) dengan perolehan beras kepala sebanyak 85% dan mempunyai kandungan amilosa sederhana (20.3%). Varieti MW 98 ini disasarkan untuk ditanam di kawasan luar jelapang terutamanya di Sarawak.
  • 7. Varieti padi spesialti MRQ 104
    MRQ 104 merupakan varieti padi wangi baharu MARDI yang dihasilkan menggunakan kaedah kacukan diallel antara varieti MRQ 89 dan MRQ 50. Pembangunan varieti ini telah bermula pada musim utama 2009/2010 melalui proses kacukan antara dua induk terpilih diikuti dengan pemilihan pedigri dan penilaian hasil di MARDI Seberang Perai. Genotip-genotip yang berpotensi daripada penilaian hasil dimajukan ke penilaian multilokasi dan penentusahan setempat di jelapang padi utama sehinggalah genotip terbaik dikenalpasti iaitu MRQ 104. Varieti ini matang sekitar 115 hingga 122 hari, pokok yang rendah (108 cm) dan berat seribu biji sekitar 20 g. Beras MRQ 104 boleh dikategori sebagai beras yang panjang dan tirus, kandungan amilosanya sederhana (23.5%) dan perolehan beras kepala melebihi 80%. Keunikan MRQ 104 terletak pada tekstur nasi yang sederhana lembut, seroi dan ciri aroma yang sederhana kuat. Tambahan pula, MRQ 104 menunjukkan kerintangan yang baik terhadap penyakit karah dan julat hasil antara 3.0 – 5.4 t/ha di penyesuaian setempat. MRQ 104 disyorkan penanamannya di kebanyakan kawasan jelapang terutamanya kawasan subur dan sederhana subur.
  • 8. Varieti padi hibrid Kadaria 1
    Padi hibrid merupakan generasi atau ‘filial’ pertama (F1) yang terhasil daripada kacukan antara 2 varieti padi yang berbeza latar belakang genetiknya. Teknologi ini mengeksploitasi fenomena heterosis di mana hibrid F1 menunjukkan prestasi ciri agronomi dan kerintangan yang lebih baik berbanding kedua-dua induknya atau varieti inbred semasa yang popular. Varieti padi hibrid berpotensi meningkatkan pengeluaran padi sebanyak 15-20% bagi setiap hektar penanaman. Sehubungan dengan itu, MARDI buat julung kalinya memperkenalkan varieti padi hibrid Malaysia yang pertama, Kadaria 1 bagi meningkatkan hasil dan pendapatan petani serta pengeluaran beras dalam negara. Penanaman varieti ini adalah disyorkan di kawasan sederhana subur yang mana ia didapati dapat meningkatkan hasil yang signifikan di kawasan tersebut yang kebiasaannya mencatatkan purata hasil sekitar 3.5-4.0 tan/ha sahaja.
  • 9. Padi mandul jantan sitoplasma CMS 0025A/B
    Pokok padi CMS merupakan salah satu induk penting dalam teknologi padi hibrid menggunakan sistem tiga-titisan. Pokok Padi CMS 0025A/B merupakan antara induk hibrid telah berjaya dibangunkan dimana pembaikbakaannya mengambilmasa 5-6 musim (2-3 tahun) atau 5-6 kali dikacukan-ulang sehingga ianya mempunyai ciri kemandulan debungga yang melebihi 99%. Kelebihan varieti hibrid ini adalah pokok lebih rendah, kualiti beras dan nasi yang baik dan sesuai dengan persekitaran tempatan. Namun, pembaikbakaan untuk memperbaiki ciri-ciri morfologi lain masih perlu dilakukan.
  • 10. Padi mandul jantan sitoplasma CMS 0053A/B
    Varieti padi mandul jantan sitoplasma (CMS) merupakan salah satu induk yang digunakan dalam teknologi padi hibrid. Ia berperanan sebagai induk betina atau induk benih untuk penghasilan benih hibrid (F1) dalam skala yang besar. 0053A/B merupakan induk CMS baharu yang telah berjaya dibangunkan dimana pembaikbakaannya mengambil masa 8 musim (4 tahun) menerusi kacukan ulang selama 6 generasi sehingga ianya mempunyai debunga yang mandul dan stabil. Kelebihan varieti ini adalah ciri juluran stigma dan pengisian benih yang baik, pokok lebih rendah, kualiti beras dan nasi yang baik.
  • 11. Pembangunan pakej baja NPK spesifik di Yan, MADA
    Pengurusan nutrien lokasi spesifik (SSNM) merupakan pendekatan berasaskan keperluan nutrien pokok padi dalam sistem pengeluaran yang intensif. Kaedah SSNM boleh digunakan sebagai panduan pengurusan nutrien penting seperti nitrogen (N), fosforus (P) dan kalium (K) di mana petani dapat membuat amalan pembajaan mengikut kadar atau amaun yang tepat mengikut keperluan tanaman di kawasan setempat. Namun begitu, sehingga kini pendekatan ini tidak digunakan sepenuhnya mengikut kesesuaian lokasi dan musim yang spesifik yang bergantung kepada penggunaan varieti, cuaca dan pengurusan tanaman itu sendiri. Oleh itu, dengan adanya pengurusan nutrien spesifik ini, ia dapat membantu mengoptimakan penggunaan baja dengan berkesan dan kos efektif. Pakej ini merupakan teknologi yang dikomersialkan sebagai ‘public good’ dan boleh dimanfaatkan oleh kira-kira 1000 petani di kawasan setempat seluas 300 ha.
  • 12. Pembangunan pakej baja NPK spesifik Wilayah KADA
    Kadar NPK 105:52:87 bagi kawasan KADA didapati memberikan hasil tertinggi berbanding dengan pakej baja sedia ada iaitu NPK pada kadar 103:53:62. Pakej ini hanya memerlukan pembajaan sebanyak tiga (3) kali sahaja berbanding dengan pakej sediada di KADA sebanyak empat (4) kali. Iaitu, tiada pembajaan pada 75 hari lepas tabur (65 hari dengan kaedah mencedung). Pakej pembajaan ini bertujuan untuk mencapai purata potensi hasil 7.0 t/ha di KADA.
  • 13. Pembangunan pakej baja NPK spesifik IADA Barat Laut Selangor
    Tanah jenis Organic Clay Muck (OCM) merupakan tanah yang berada di antara tanah jenis mineral dan gambut. Keluasan tanah sawah jenis ini di kawasan Barat Laut Selangor (BLS) ialah 2,013 ha atau 10.14 % daripada kawasan keseluruhan BLS. OCM telah diklasifikasikan sebagai tanah yang bermasalah kepada tanaman padi dengan pH yang rendah dan kekurangan unsur nutrien atau tanah yang berkeadaan terturun di mana banyak bahan toksik terkumpul. Purata hasil bagi kawasan ini adalah lebih rendah antara 3-5 tan/ha. Kaedah SSNM boleh digunakan sebagai panduan pengurusan nutrien penting seperti nitrogen (N), fosforus (P) dan kalium (K) di mana petani dapat membuat amalan pembajaan mengikut kadar atau amaun yang tepat mengikut keperluan tanaman di kawasan setempat dengan sasaran untuk membantu mengoptimumkan penggunaan baja dengan berkesan dan kos efektif.
  • 14. Pengurusan padi angin semasa penyediaan tanah
    Pada keadaan semasa di Malaysia, pengurusan padi angin dalam sistem menabur basah benih padi adalah melalui penyediaan tanah atau tapak yang baik. Penggunaan teknik batas berbenih lama dilaporkan dapat mengurangkan bilangan pokok padi angin di plot sawah. Namun begitu, keberkesanan teknik atau kaedah ini bergantung kepada tahap kedormanan biji benih padi angin. MARDI telah membangunkan satu prosedur operasi standard (SOP) bagi pengurusan padi angin dalam sistem tabur basah. Di Malaysia, sawah padi yang benihnya ditabur basah dibajak sebanyak tiga kali pada purata kedalaman tanah antara 10 ke 15 cm. Teknik batas berbenih lama atau 'stale seed-bed technique' akan diikuti oleh pra semburan racun rumpai, pembajakan pertama dalam keadaan tanah yang kering, pembajakan kedua dalam keadaan tanah yang basah dan terakhir adalah pembajakan ketiga bersama perataan tanah yang dilaksanakan 1 atau 2 hari sebelum menabur benih padi. Aplikasi semburan pretilachlor atau oxadiazon selepas pembajakan kedua pada keadaan 2 inci kedalaman air bertakung adalah kaedah tambahan dalam SOP yang baharu dibangunkan ini. Aras air dikekalkan selama tujuh hari sebelum pembajakan ketiga dilakukan.
  • 15. Pembangunan pakej pengurusan penyakit hawar bulir bakteria secara kaedah rawatan benih
    Kehadiran Burkholderia glumae yang menyebabkan penyakit hawar bulir bakteria (BPB) pada padi di Malaysia telah disahkan. Penyakit ini telah menjejaskan sekurang-kurangnya 12,000 hektar kawasan pengeluaran padi dan kadar kehilangan hasil sehingga 50% telah dilaporkan pada tahun 2018 dan dijangka akan meningkat lagi. BPB adalah penyakit bawaan benih, oleh itu pembersihan benih bagi bebas dari bakteria adalah satu langkah yang penting untuk mengawal dan menghalang penggunaan benih yang telah terjejas. SOP rawatan benih BPB telah dibangunkan menggunakan racun kuprum sulfat pentahidrat (a.i 21.36%) di mana benih padi direndam dalam larutan racun kuprum pada pencairan 0.5% (1.0 g a.i/L) selama 24 jam. Kadar perencatan pertumbuhan bakteria pada permukaan benih didapati sebanyak 86% dan kadar percambahan benih padi pula adalah 80%. SOP rawatan benih ini dapat membantu merencat pertumbuhan bakteria B. glumae pada permukaan benih dan secara langsung mengurangkan sumber inokulum serta membantu mengurangkan kadar insiden penyakit BPB di lapangan 20%-35%.

Publications

Publications RMK11

Contact

DIRECTOR
Pusat Penyelidikan Padi & Beras (PR)
Ibu Pejabat MARDI

Telefon : 03-89536200
No.Faks : 03-89536220

  • Published on 10 November 2022
  • Last modified on 05 December 2024
  • Home
  • RESEARCH FOCUS
  • RICE