Skip to main content

Frequently
Asked Question

Contact
Us

Feedback
& Report

Site
Map

PUSAT KECEMERLANGAN (COE) PENYELIDIKAN MARDI

Pusat Kecemerlangan atau Centre-of-Excellence (COE) Penyelidikan MARDI diwujudkan pada sekitar tahun 2015 yang bertujuan untuk mengangkat martabat MARDI sebagai institusi penyelidikan terulung dan terhadapan di dalam bidang agromakanan. Ia juga berperanan sebagai Pusat Rujukan Kepakaran bagi aktiviti penyelidikan komoditi atau bidang pengkhususan terpilih.
COE MARDI dibangunkan berteraskan lima (5) kriteria utama iaitu keupayaan kepakaran, peruntukan kewangan bagi tujuan penyelidikan, ketersediaan aset dan infrastruktur sokongan, jaringan kerjasama R&D&C&I, dan outcome serta impak projek penyelidikan yang dilaksanakan.
Pada hari ini, terdapat enam (6) Pusat COE MARDI iaitu:
Pusat Kecemerlangan (COE) Penyelidikan Padi & Beras atau rice@MARDI

Pusat Kecemerlangan (COE) Penyelidikan Padi & Beras atau rice@MARDI yang terletak di Jalan Paya Keladi / Pinang Tunggal, Kampung Permatang Durian, Kepala Batas, Pulau Pinang, telah turut terlibat di dalam menjana teknologi seperti varieti padi MR323, MR324, MR326, MR330, MR331, MR297, kaedah kawalan padi angin dan pakej pengurusan penyakit hawar bulir bakteria (BPB) bagi tanaman padi.

Pusat Kecemerlangan (COE) Penyelidikan Buah-buahan Tropika

Pusat Kecemerlangan (COE) Penyelidikan Buah-buahan Tropika yang terletak di Sintok, Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam, Kedah, telah turut terlibat di dalam menghasilkan varieti / klon buah-buahan seperti rambutan Mutiara Merah dan Mutiara Wangi, mangga Red Blush, serta nenas Line 6. Di samping itu, penanaman varieti popular tempatan turut dilaksanakan seperti mangga Harum Manis, Chokanan serta durian MDUR88, MDUR79 dan MDUR78.   

Pusat Kecemerlangan (COE) Penyelidikan Tanaman Kelapa

Pusat Kecemerlangan (COE) Penyelidikan Tanaman Kelapa yang terletak di Sungai Sumun, Bagan Datuk, Perak, memfokuskan kepada aktiviti penyelidikan bagi tanaman dan hasilan kelapa. Di antara hasil penyelidikan yang dijalankan adalah beberapa varieti kelapa hibrid baharu, kaedah pengawalan biologi menggunakan kumbang Palma Merah (RPW), formulasi biopestisid kawalan penyakit bintik daun kelapa CocoGuard™, serta teknik penghasilan bahan lignin-kompleks bernilai tinggi daripada sabut kelapa.

Pusat Kecemerlangan (COE) Penyelidikan Tanaman Ubian

Pusat Kecemerlangan (COE) Penyelidikan Tanaman Ubian yang terletak di Kampung Aur, Mukim Telong, Bachok, Kelantan, memfokuskan kepada aktiviti penyelidikan bagi tanaman dan hasilan ubian. Di antara hasil penyelidikan yang dijalankan adalah varieti ubi keledek bernutrisi tinggi, teknologi fertigasi bagi pengeluaran keledek dan halia, kaedah pengurusan lepas tuai ubi keledek ungu mutan, teknologi penanaman keledek tanpa tanah, kaedah pengawalan penyakit virus keledek secara biologi, kaedah pembajaan optimum bagi peningkatan kemanisan keledek, serta kaedah pengendalian lepas tuai ubi keladi.

Pusat Kecemerlangan (COE) Penyelidikan Ternakan

Pusat Kecemerlangan (COE) Penyelidikan Ternakan yang terletak di Jalan Kluang-Kota Tinggi, Kluang, Johor, memfokuskan kepada aktiviti penyelidikan bagi ternakan. Di antara hasil penyelidikan yang dijalankan adalah baka lembu Kedah-Kelantan (KK) Elit, baka kambing Katjang x Boer (BK), baka ayam kampung MARDI / Ayam Saga, teknologi pemakanan tepat bagi ternakan ruminan (kambing BK, lembu Brakmas & lembu KK Elit), serta teknologi pengeluaran telur ayam kampung berfungsi.

Pusat Kecemerlangan (COE) Teknologi Tanah Tinggi

Pusat Kecemerlangan (COE) Teknologi Tanah Tinggi yang terletak di Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang, tidak memberikan fokus terhadap sesuatu komoditi tetapi tumpuan diberikan kepada bidang penyelidikan yang melibatkan aktiviti agromakanan di kawasan tanah tinggi. Di antara hasil penyelidikan yang dijana sejak 2015 adalah seperti model ladang contoh bagi pertanian organik di kawasan tanah tinggi, teknologi penghasilan baja berasaskan asid nitrohumik (NHA), teknologi pengeluaran tanaman organik menggunakan BioRichar™, serta teknologi kawalan biologi CabbioSheild™ bagi tanaman kubis.